Dari tinjauan rambang ANIS ke atas mereka yang bergelar ibu, ramai yang merasakan pentingnya sifat keibuan ini dipupuk sejak awal untuk mengelakkan gejala lunturnya sifat berkenaan. “Sifat-sifat keibuan sejati mestilah dipupuk sejak awal, barulah akan timbul dalam diri,” ungkap Aslinda Abu Samah, 32.
Tidak dinafikan, ada di kalangan kaum wanita yang seolah-olah berasa kekok menjadi seorang ibu. Padahal menjadi ibu adalah peranan asas wanita apabila telah berkeluarga. Namun ini tidak bermakna sifat-sifat keibuan itu langsung tidak ada pada diri mereka. Kerana secara fitrah, setiap wanita yang melahirkan anak pasti dianugerahkan sifat keibuan oleh Allah. “Bila lahir saja anak, naluri keibuan memang ada di dalam jiwa seorang ibu,” ujar Siti Zaine Zainal Abidin, 26.
“Ini adalah fitrah (nature) bagi seorang yang menjadi ibu,” sokong Norhazlina Zainol, 25, seorang juruhebah. Norhazlina menambah, “Ibu yang bersikap kejam pada anak-anak adalah ibu yang mungkin mengalami masalah dalaman ataupun mendapat anak dengan cara yang tidak halal. Sedangkan kucing pun sangat menyayangi anak-anaknya, apatah lagi manusia yang dianugerahi akal fikiran.”Beliau percaya, walaupun kita hidup di zaman moden, tidak ada wanita yang tidak memiliki langsung sifat-sifat keibuan.
Rahayu Md Rashid, 26, tidak setuju jika dikatakan pemudi sekarang tidak boleh menjadi ibu yang baik, kerana berdasarkan pengalamannya sendiri berkahwin dalam usia muda (awal 20-an), dia tidak menghadapi masalah. “Cuma perlukan bantuan daripada ibu,” katanya. Seperti Rahayu, beberapa orang ibu mengakui mendapat sokongan dari ibu sendiri untuk memupuk dan menyuburkan sifat keibuan di dalam diri. “Mak banyak membentuk peribadi saya untuk menjadi seorang ibu yang sejati,” luah Noraidillah Zakaria, 28, ibu kepada dua orang cahaya mata.
Faridah Muhammad, 31, mempunyai pandangan yang sama. “Sukar pada mulanya berkahwin awal (pada usia 15 tahun) tapi berkat sokongan ibu, saya dapat menjaga anak-anak dengan baik,” kata Faridah yang memiliki dua orang anak remaja berusia 12 dan 16
Namun begitu, inisiatif sendiri juga perlu ada dalam menyuburkan sifat-sifat keibuan ini. Di sini perlunya ilmu berumah tangga. “Cara nak meningkatkan ilmu adalah terpulang pada diri sendiri. Bagi saya, ia ibarat makanan, kalau sudah selalu dimasak, kita sudah tahu apa rencah yang perlu dimasukkan,” Asana Evilianty Hassan, 40, memberi pandangan. Beliau yang berasal dari Medan, Indonesia, seorang tukang masak restoran.
Sifat-sifat keibuan sejati begitu penting kerana ia mempengaruhi pembentukan sahsiah generasi akan datang. Tetapi apakah yang dikatakan sifat-sifat keibuan yang sejati itu? Mungkin terlalu panjang jika hendak disenaraikan. “Ibu sejati adalah ibu yang sedia berkorban walau apa pun yang berlaku pada anak-anak dan dirinya. Yang sentiasa mendahulukan keperluan anak-anak daripada dirinya sendiri,” celah Rahayu.Pengorbanan adalah salah satu ciri seorang ibu sejati.
Pengorbanan yang ibu berikan itu tentunya lahir dari kasih sayang yang mendalam terhadap anaknya. “Bagi saya, kasih ibu sejati itu, tidak kira di mana dia berada, walaupun berjauhan dari anak-anak, dia tetap menjalankan tugasnya sebagai ibu,” ungkap Syazrah Ilyana Abdullah, 25, seorang ibu berkerjaya yang terpaksa berjauhan daripada anak dan suami demi memenuhi tuntutan tugas.
“Kasih ibu sejati itu berpanjangan, dan ia dapat dilihat dengan sangat jelas. Walaupun bukan pada anak sendiri, namun sifat-sifat itu tetap kelihatan,” kata seorang guru, Zarina Mohd Ali, 34. Kasih sayang adalah anugerah Allah yang amat bernilai.
Selagi tidak luntur kasih sayang di dalam hati, selagi itulah seorang ibu mampu menjadi seorang ibu yang sejati. Tetapi jika kasih sayang sudah luntur dan tidak cuba digilap kembali, akan lunturlah juga sifat-sifat keibuan sejati pada diri seorang ibu.
No comments:
Post a Comment