Zikrayaat

Monday, September 20, 2004

Hati seorang isteri

1 comments
Tajuk: HATI SEORANG ISTERI…


“ Hai sekalian manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu, dan menjadikan isteri daripadanya, dan daripada keduanya, berkembang biak lelaki, dan perempuan dengan banyaknya…” An-Nissak : 1. Hanan tahu. Perempuan dicipta untuk lelaki, dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu. Allah maha tahu. Adam tidak betah keseorangan. Lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri. Hawalah penghibur. Hawa jua racun berbisa. Bila mana iblis gagal menggoda Adam, lalu diganggunya Siti Hawa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa. Lantas dicampakkan ke dunia. Dunia yang penuh kekejaman. Penuh noda. Penuh sengsara. Itulah wanita. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Adam jatuh kerana Siti Hawa. Habil, dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga tersungkur kerana seorang wanita. Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Bukan sahaja tampan, malahan mempunyai nilai peribadi yang tinggi. Ya… Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis. Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok. Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Malboro… Tetapi, bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu… Ilmunya penuh di dada. Ilmu itu di hujung jarinya. Rasulullah pernah bersabda, “ Jika kamu mahukan dunia, dengan ilmu. Jika kamu mahukan akhirat, dengan ilmu. Jika kamu mahu dunia, dan akhirat, dengan ilmu.” “ Umi… Abu ingat abi.” “ Abi sibuk. Nanti malam, abi pulang. Abu dah solat? Pergi solat dulu. Kan abi pesan, solat mesti di awal waktu.” Abu Bakar… Putera sulung Hanan bersama Muhammad. Sebagai tanda cinta berpanjangan. Abu Bakar As-Siddiq… Sahabat akrab Rasulullah. Itulah impian Hanan. Setelah sah menjadi suri Muhammad, Hanan bercita-cita melahirkan zuriat sehebat Saidina Abu Bakar, seberani Saidina Umar, sesabar Saidina Uthman, dan sekental Saidina Ali, menantu kesayangan Rasulullah. Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua orang cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar, manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah. Fatimah… Begitu comel wajah itu. Masih Hanan ingat. Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Pendakwah bebas… Perginya ke mana-mana. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalanNya. Hanan terharu. Tetapi, naluri wanitanya tetap merasai kesedihan bila mana Muhammad tiada di sisi tika dia mahu melahirkan. Andai kata Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia mahu memejamkan mati di sisi suami. Di pangkuan suami tercinta. “ Ayang nak letak nama apa?” “ Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.” “ Sumayyah?” “ Abang suka?” “ Entahlah. Apa kata… Fatimah Az-Zahrah.” Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih. Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh, dan redha. Muhammad tahu, Hanan kurang setuju dengan permintaanya agar dia berhenti bekerja setelah kelahiran Abu. Tetapi, sebagai isteri yang taat, Hanan akur. Meskipun bertentangan dengan cita-cita, dan azamnya, Hanan tetap menerima. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu. Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Siapakah dia? Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah? Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami. “ Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain, dan sebatang rotan di sampingnya. “ Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku, dan anak-anak.” “ Bagaimana pula dengan rotan?” “ Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya.” “ Adakah dia sering memukulmu?” “ Tidak. Bahkan dia hanya memelukku di sisinya.” “ Kamu memang layak masuk syurga,” bisik hati Fatimah. Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat, dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan. Takbir!! Hanan terkejut dari lamunan. Dia terkenang kisah lampau. Antara dia, dan Muhammad. Antara cita-cita, cinta, dan harapan. Konflik berlegar-legar. Cita-cita membantu ibu di desa. Meringankan beban ibu yang melahirkan. Membalas jasa bapa yang membesarkan. Hanan tahu perit ibu mengandungkan. Sakit ibu melahirkan. Penat ibu membesarkan. Kakak, Dulu, kakak cakap, bila kakak dah kerja, kakak nak bawa abang, Amir, Bobo pergi melancong. Nak bawa kami naik kapal terbang. Nak hantar ibu, dan ayah ke Mekah. Kenapa tak boleh sekarang? Kakak tak ada duit ye? Kakak tak cukup duit? Salam sayang dari kami di kampung. Abang. Abang, Bukan kakak lupa. Kakak ingat janji kakak. Tapi, apakan daya. Kakak tak punya sumber. Belanja bulanan, boleh ditanggung. Janji kakak, agak sukar dikotakan. Sayang selalu. Kakak. Konflik terus bermain di kepala. Antara ketaatan, dan cita-cita. Antara harapan, dan cinta. Hati Hanan menjerit. Dia ingin mengotakan janjinya. Ingin meringankan beban ibunya. Hanan merancang sebegitu lama. Hanan fikir, jika Muhammad membenarkan dia bekerja tetap, pastinya dia dapat menepati kata-katanya. Membantu keluarganya. Mengapalah Muhammad tidak pernah mahu mengerti? “ Ayang… Minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.” “ Pergilah bang. Orang dah jemput.” “ Macam mana anak-anak?” “ Abu… Macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah.” “ Ayang… Penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?” “ Emmm….” Abang, Bukan harta yang dipinta. Bukan emas yang dirayu. Hanan ingin selalu di sampingmu. Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Sebelah pagi, Muhammad bergegas ke pejabat. Malamnya, jika ada jemputan, Muhammad perlu berceramah. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana. Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya. Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah. Dia perlu sentiasa redha, dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras. ” Ibrahim : 7. Ya… Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu, dan isteri sebaiknya. Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan, dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia. Alangkah indahnya, jika kelak, dia dijemput Tuhan, tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu. Suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah. Bak kata seorang teman, “ Hiduplah sebagai ulama’, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya. Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya. Apatah lagi wanita di dunia. “ Kakak… Nenek sakit tenat. Baliklah. Ibu suruh kakak balik.” “ Abang Muhammad tiada. Pergi ceramah di Kedah. Macam mana kakak nak keluar rumah?” “ Kakak telefonlah dia. Nenek dah nazak. Kakak kena balik.” “ Nanti kakak telefon abang Muhammad.” Telefon Muhammad? Mana mungkin Hanan mengganggu Muhammad waktu itu. Hatinya meronta untuk pulang. Tapi bagaimana? Hanan tahu, suaminya tidak akan marah. Bukan benda kecil. Hidup mati manusia. Tapi, Hanan tidak mahu menghalang gerak kerja Muhammad. Jika dikhabarkan berita ini, pasti Muhammad gelisah. Hanan yakin, Muhammad pasti tidak dapat pulang malam ini. Hendak pulang sendiri? Hanan mana ada fulus? Kalau untuk dirinya saja, mungkin mencukupi. Tetapi, bagaimana dengan Abu, dan Fatimah? Tinggalkan di rumah? Tidak sama sekali. Apa-apa boleh berlaku. Budak-budak masih kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak mengerti apa-apa. Hendak beritahu ibu duit tidak mencukupi? Hanan tidak sanggup. Nanti, ibu pasti menjadi seperti inspektor polis yang giat menyoal-siasat banduan. Dari mana datangnya duit yang dikirimkan selama ini? Mana mungkin Hanan mampu mengirimkan wang jika duitnya tiada? Ibu tidak tahu. Dan ibu tidak perlu tahu. Ibu juga tidak boleh ambil tahu. Hanan banyak berjimat. Ditahan keperluannya. Dipenuhi kehendak ibu bapanya. Sudahlah dia gagal menghantar mereka ke Mekah. Biarlah dia berkorban sedikit. Hanya sedikit… “ Kakak... Nenek dah meninggal.” “ Innalillahiwainnailahirajiun.” Hanan senyum sendiri. Menangis dalam senyuman. Nenek tua itu telah sampai ajalnya. Telah tiba waktunya. Rambutnya putih. Tiada yang hitam. Mukanya cengkung. Tangannya berkedut. Hanan sayang orang tua itu. Dialah yang mengasuhnya selama ini. Mendidiknya menjadi orang yang berguna. Ibu juga mendidik. Ayah juga mengajar. Tetapi, keringat ibu, dan ayah lebih diperlukan untuk mencari sesuap nasi. Akhirnya, nenek pergi jua. Meskipun Hanan tidak menanam cita-cita agar janda kematian suami itu mati di sisinya. Alangkah indahnya jika dia ada bersama tika neneknya sedang nazak menunggu roh keluar dari jasad. “ DaripadaNya kita datang. KepadaNya kita kan kembali.” “ Kak Hanan.” “ Ya saya. Siapa di sana?” “ Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.” “ Ooo… Ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?” “ Em… Akak... Saya harap akak tidak marah. Tapi, saya dah tak mampu,” talian sunyi sebentar. “ Akak… Saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya, dan saya sanggup menjadi yang kedua.” “ Ustaz tahu hal ni?” Hanan cuba menahan getar di hatinya. “ Mungkin tahu. Tapi, buat-buat tak tahu. Saya terseksa.” Diam lagi… “ Saya yakin ustaz akan mendengar nasihat akak. Kak... Pinanglah dia untuk saya.” Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup. Dia tidak sanggup bermadu. Tidak rela dimadu. Apatah lagi berkongsi suami. Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu. Malahan dua… Tiga… Empat… Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera. Tapi… Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi? Dia berkorban kerana ketaatan. Kerana patuh terhadap suami. Perlukah dia terus memendam rasa lagi? Menangis!! Hanan tidak akan menangis kerana dugaan, dan ujian. Saidina Ali pernah menangis kerana dirasanya Allah tidak memandangnya. Mengapa? Kerana dirasakan tiada ujian diturunkan buatnya. Ujian!! Sebagai tanda kasih Tuhan. Sama ada ingin mengangkat martabat hambaNya itu, ataupun sebagai kafarah dosa yang dilakukan. Dua-dua sama. Sebagai tanda cinta Ilahi. Allah pernah berfirman, “ Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya,” Al-Baqarah : 286. Hanan juga tahu firman Tuhan, “ Sesungguhnya Allah bersama orang yang bersabar.” Tapi… Macam mana dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini? Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran. Nanti… Abu, dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona, dan Muhammad. Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu. Hanan yakin. Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman. Tapi kini, tangisannya berbunyi. Tangisannya meggugurkan air mata jatuh ke bumi. Hanan teringat pesan Tok Guru. Poligami tidak salah. Malah meringankan beban wanita yang terseksa. Asal kita hayati, fahami konsepnya. Beliau juga berpesan kepada para suami agar tidak menambah yang sedia ada. Tetapi, jika gelora hati tidak mampu ditahan, nikahlah. Kahwinlah satu lagi. Tafaddhal masykura. Banyak kelebihan sebenarnya isteri yang membenarkan suaminya berkahwin lagi. Pertama, darjatnya pasti diangkat Allah. Kedua, membolehkan si isteri mendekatkan diri kepada Tuhan. Benar. Bila suami bersama isteri kedua, bolehlah isteri pertama melakukan ibadat sunat. Bolehlah dia qiam sepertiga malam. Hanan tahu semua itu. Pasti dia dapat menghampiri Tuhannya. Mengadu, merintih kepadaNya. Tapi… Kan ketaatan itu juga satu ibadah? “ Kenapa lain macam je ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bila mana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa. “ Tak adalah bang. Ayang letih je,” kata Hanan menahan sebak di dada. “ Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan… Abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan, dan mendudukkan dia di sisinya. “ Ceritakanlah… Ayang bukan sahaja isteri abang. Tapi sahabat, dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita.” “ Abang…” Hanan makin sebak. Tiba-tiba… “ Umii… Tengok abang ni. Dia kacau Imah.” “ Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main je.” “ Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.” Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad. Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya. Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Tapi, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatimya telah mati. Cerai? Ya. Perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya. Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya. Dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka. Apatah lagi berwajah sugul. Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah. Muhammad amat mencintai Hanan, dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak tentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan? Lebih parah lagi bila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad. Sesungguhnya… “ Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24. “ Abang…” Hanan bersuara satu malam. “ Yang...” “ Baru-baru ni, pelajar abang telefon.” “ Ya.” “ Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu. “ Ya.” “ Katanya...” Diam seketika. “ Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.” “ Jadi?” Begitu tenang lelaki ini. “ Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi dia tidak mampu menahan sebak di dada. Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis, dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya. “ Sebab inikah kamu berubah isteriku?” Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu. Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya. “ Kalau ayang suruh abang kahwin, kenapa menangis?” Diam… “ Ayang tak sanggup?” Diam lagi… “ Kalau tak sanggup, kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu. “ Ayang. Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.” Lagi seminggu Hanan akan melahirkan bayi yang ketiga. Kalau muzakkar, namanya Umar. Kalau muannas, pastinya Siti Muthiah. Muhammad tidak sabar menanti saat itu. Saat lahirnya marjan, sebagai tanda kasih berpanjangan. Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya. Tika dia turun berjuang. Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecatatan yang ada. “ Abang… Takut rasanya kali ini.” “ Kenapa? Kan abang ada.” “ Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.” “ InsyaAllah, segalanya akan selamat.” “ Abang...” “ Ya.” “ Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…” “ Tak akan ada apa-apa yang berlaku.” “ Kalau-kalau…” “ Semua akan selamat,” pintas Muhammad. “ Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.” Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang. Tapi, usahlah begitu. Benarlah kata seorang motivator. Wanita itu mudah tersentuh. Sensitif benar hatinya. Emosinya tidak dapat dibendung. Sentiasa mengikutinya. Menjadi pengawal peribadi yang setia. Hanan juga tidak terkecuali. Percayalah Hanan. Cinta abang untuk Hanan seorang. “ Encik Muhammad… Nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi, atau si ibu.” “ Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah memberi arahan. Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu. Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis? Darah begitu banyak tetapi tangisan bayi masih belum kedengaran. Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba… Kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Adik @ Muthiah Habibatullah _________________"TIDAK ADA APA YG LEBIH MANIS DLM KEHIDUPAN INI MELAINKAN APABILA KITA BERJAYA MEMPEROLEH KEMANISAN IMAN & CINTA ILAHI."

Wednesday, September 15, 2004

hati seorg gadis

0 comments
“ Boleh tak kalau kita nak mainkan hati orang?” “ Tak boleh!” “ Tapi, kan Tuhan dah cakap. Kalau ada orang ambik barang kita, kita boleh ambik barang orang tu balik.” “ Hati tak boleh disamakan dengan barang!” “ But, it’s fair and square right?” Gadis itu mendendaminya. Bukan dendam, tetapi sayang. Oleh sebab terlalu sayang, akhirnya bertukar menjadi dendam. Yang tak mampu dizahirkan oleh kata-kata. Tak mampu ditunjukkan melalui jelingan mata. Ada mata berwarna hitam. Ada juga berwarna biru. Hijau lebih menarik perhatian. Pink pula menyakitkan jiwa. Tidak kiralah warna apupun. Tetap tidak mampu menzahirkannya. Ikutkan rasa, mahu saja gadis buat dia menangis. Biar hati dia turut teresak kesakitan. Mahu saja gadis melukai hati dia yang terlalu banyak mengguris perasaan. Gadis mahu dia turut merasai apa yang dirasai gadis. Biar hati sama-sama sakit. Biar jiwa sama-sama derita. Biar dia juga terbeban dengan permasalahan hati yang mengganggu gadis. Gadis terlalu banyak makan hati. Bukan hati ayam yang dimaksudkan. Atau hati daging yang digoreng ibu. Tetapi hati milik gadis sendiri. Terlalu banyak. Tidak sampai infiniti tetapi sudah cukup meresahkan. Mata terlalu kerap membazirkan airnya. Gadis memang sengaja membuang air mata yang sebenarnya amat bernilai bagi insani. Itulah kehendak gadis. Agar berkurang sengsara di jiwa. Walaupun mata gadis sudah bengkak, kelopak mata terus mengalirkan airnya. Tubuh gadis semakin layu. Berat benar derita yang gadis alami. Hakikatnya, hati gadis sebenarnya yang menderita. Hati tidak cukup tabah menghadapi dugaan berkasih. Hati begiti lemah. Gadis ingin sekali menyakiti dia sebagaimana gadis telah disakiti tetapi hati tidak mampu berbuat demikian. Hati itu lembut. Tidak sekeras gadis yang telah dirasuk amarah iblis. Pastinya syaitan ketawa riang tatkala melihat kemarahan menguasai diri. Aku telah berjaya menundukkan hambaMu yang Kau kata begitu taat kepada perintahMu. Aku tidak memerlukan bala tentera yang banyak untuk menundukkannya. Tidak seperti Bushiful. Mahu menghancurkan Islam dengan batalionnya. Perancangan yang dianggap hebat sebenarnya mengundang kemusnahan. Berapa ratus tentera bersekutu telah mati katak akibat ketololannya? Sedang aku, dalam senyap telah membinasakan. Kau dilihat kejam kerana kebodohanmu. Tetapi aku, yang sebenarnya lebih zalim ini tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Benar… Mereka yang sememangnya kejam tidak dapat diadili sesiapa. Sebenarnya telah lama hati gadis terhiris. Begitu lama tanpa dapat dibilang waktunya. Pabila parut lama belum hilang, datang pula parut baru. Hinggakan parut-parut pada hati yang hanya sebesar syiling lima sen bertambah saiznya menjadi setebal novel Salina tulisan A. Samad Said. Luka Siti Salina yang dikhianati Abd. Fakar lebih kurang sama besarnya dengan luka gadis. Hati memang begitu payah mahu sembuh. Hati yang hampir sembuh pula seolah-olah telah ditakdirkan untuk terhiris kembali. Dihiris, dan ditoreh sehingga berdarah. Mengalirkan darah-darah merah pekat. Lebih pekat daripada darah yang digambarkan oleh Seno Gumira Ajidarma dalam ‘Telinga’nya. Darah yang likat membasahi bumi. Parut pula makin besar sehari-hari. Tidak ada tanda mahu kecil. Hati gadis pernah menutup cinta buat makhlukan. Meskipun diri meronta-ronta ingin merasainya , tetap digagahi jiwa itu. Cinta Tuhan cinta hakiki. Cinta Tuhan yang dicari-cari. Cinta Tuhan yang dikejar selama ini. Cinta, pergantungan yang hanya disasarkan buat Pencipta. Tangan boleh bersedekah. Kaki boleh menuju ke majlis ilmu. Dahi boleh sujud sehingga hitam jadinya. Tetapi hati… Adakah hati boleh menipu? Mulut boleh berkata-kata. Bibir yang merah boleh bergerak-gerak menyatakan cinta Ilahi. Zahir boleh menipu mata yang melihat, telinga yang mendengar, hidung yang menghidu. Akan tetapi, sama sekali tidak mampu membohongi hati yang tahu nilai satu ketaatan, dan ketaqwaan. Tidak sama sekali. Hati tidak sekali-kali dapat menidakkan penilaian Al-Khaliq. Kekhusyukan ibadah tidak dapat dinilai sewenangnya oleh penat pergerakan badan. Hati… Bukan sebesar watermelon. Mungkin hanya sebesar telapak tangan yang sentiasa berdoa, makan, mencuri, bersedekah, dan melakukan dosa. Berdoa tanpa kesungguhan. Berdoa hanya ketika perlu. Makan tanpa mengingati dari mana datangnya rezeki itu. Mulut hanya tahu mengunyah. Mencuri dengan penuh strategi, dan konspirasi. Mana ada yang tahu? Aku adalah perompak yang tidak dapat dihakimi sesiapa. Undang-undang itu, aku yang punya. Bersedekah, lalu dihebahkan melalui media. Akulah yang memberi. Sememangnya perlu bagi kamu untuk bersyukur… Dari jauh, hati itu kelihatan seperti simbolik sayang. Ya… Hati itu sememangnya makna bagi sayang yang tidak dapat membohongi makhlukan. Darah-darah pekat melingkari hati. Darah merah pekat itu sememangnya menakutkan, menggerunkan. Bagi Mahsuri, darahnya berwarna putih. Sebagai tanda dia tidak berdosa. Dihukum akibat fitnah yang menghancurkan. Fitnah juga yang hampir membinasakan Saidatina Aisyah. Andai hati itu dilukai, bertambah banyaklah darah yang bisa melingkari. Jika kuat hati dilukai, tidak mustahil mampu menghancurkan hati yang sedia kecil itu. Darah terus mengalir tanpa henti membasahi bumi. Peliknya darah itu hanya mahu membasahi tanah ciptaan Tuhan. Tidak mahu melekati jantung di sekitar hati. Tidak mahu mengganggu paru-paru, hempedu, pundi kencing… Begitu aneh blood ini. Parut terus bertapak di permukaan hati. Satu masa, tika cinta Tuhan dikejar gadis, hidup gadis begitu aman, dan bahagia. Hidupnya gadis, matinya gadis hanyalah untuk Dia yang menjadikan. Dia yang berkata qunfayakun, maka terciptalah. Bangunnya menyebut nama Kekasih. Makannya mengingati Kekasih. Kerjanya merindui Kekasih. Tidurnya dengan pengharapan terhadap Kekasih. Agar diberi peluang untuk bangkit keesokannya , dan menemui Kekasih untuk kesekian kalinya. Melepaskan segala resah di jiwa. Hati juga sama-sama membantu gadis mencapai matlamatnya itu. Gadis letih. Hati turut sama letih. Lebih penat berbanding letihnya gadis. Keringat yang lebih banyak daripada yang dimiliki gadis. Gadis begitu bahagia kerana hadirnya cinta itu bukan hanya dari mulut yang sentiasa tidak benar butir bicaranya. Ya… Dari mulut yang sering berdusta. Rutinnya gadis... Bangun tidur menghadap Tuhan Hati turut sama bangun. Nafsu mendesak hati agar terus lena dibuai mimpi tetapi kekuatan spiritual milik gadis menyebabkan hasutan nafsu itu ditempis bulat-bulat. Gadis menuju ke kamar mandi. Hati ikut sama. Tiba-tiba, gadis tersentak. Hati tidak lepas untuk tersentak juga. Tetapi, gadis tidak tahu asbab sentakan itu. Sentakan sepantas halilitar itu tidak dapat dinilai gadis. Gadis terus mengambil wudhuk. Hati masih diam memikirkan sentakan tadi. Ada sesuatu yang dirasai hati. Sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. Oleh kata-kata hati... Gadis tersentak lagi. Tidak dapat merasai manisnya iman. Tidak dapat mengecapi cinta Ilahi. Gadis mula mengerti. Hati yang telah lama mengerti tidak keruan. Dirasakan semakin jauh dari gadis. Makin jauh dari Ar-Rahim. Berdikit-dikit air mata gadis turun ke bumi. Semakin lama semakin rancak tangisnya. Hati juga begitu. Cuma hati sebenarnya telah kering air mata merasai kejauhan yang baru saja disedari gadis. Hati telah lama tahu… Gadis berbicara… Berjalan di bumi yang tandus ini penuh duri Tanpa sedar, dan penuh lalai Usia beredar penuh kejahilan Dan kemusnahan Mengembara mencari dunia hakiki Tiada jumpa jalan yang sejati Tiada pembimbing penunjuk jalan yang suci Hidup terumbang-ambing sendiri Tuhanku dengarlah bicara hati ini Dariku insan sering tersisih Di lautan penuh dosa dan noda Demi mencari secebis kasihMu Tuhanku tangan ini menadah sayu Keampunan di perjalanan jauh Semoga diterima disisiMu Sebagai bekalan negeri abadi Menempuh sayu perjalanan pahit Dalam kembara mencari diri Mengharap sinar terangi hati Yang sekian lama menutup jiwa Hati menangis, dan terus menangis. Gadis telah lama diam tetapi hati tidak dapat diam. Gadis rasa sakit kehilangan. Hati juga rasa sakit kehilangan. Bahkan lebih hebat sakitnya berbanding gadis. Mahu saja hati menghukum gadis yang tidak tahu bersyukur. Tidak tahu menilai erti bahagia. Kebahagiaan di depan mata dibiarkan. Mata yang sedia celik itu dibutakan. Mahu dicari kebahagiaan yang tidak pasti hujungnya. Bolehkah disalahkan gadis semata-mata? Gadis boleh menipu tetapi tidak hati. Gadis boleh menolak tetapi tidak bagi hati. Mulut mampu berbohong tetapi hati hanya tahu berkata benar. Apa nak jadi? Gadis memarahi hati yang tidak pandai berdusta. Hati pula menyalahkan gadis yang hanya mengikut nafsu. Konspirasi yang dilakukan gadis, dan hati telah berada di puncaknya. Bukan konspirasi menjatuhkan pemimpin. Konspirasi sebegitu itu amat keji, dan menjelikkan. Hati akhirnya tunduk dengan kehendak gadis. Ah! Hanya alasan hati untuk menuding kesalahan kepada gadis. Perlu diingat!!! Satu jari yang menuding, empat jari kan kembali kepada si penuding. “ Kan perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik?” “ Dah tahu, kenapa masih cari nahas?” Hati membidas. “ Tapi, Tuhan juga suruh berusaha. Tidak Aku ubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya.” “ Berusaha sampai meninggalkan yang wajib? Gadis hanya pandai mengeksploitasi ayat Tuhan.” hati terus menyalahkan. “ Jangan salahkan gadis. Mana pernah gadis meninggalkan yang wajib.” “ Kenapa? Sedangkan gadis yang buat dosa,” hati melenting. “ Gadis tidak mengabaikan solat. Hatilah yang salah kerana gagal menghadirkan diri dalam pertemuan dengan Tuhan itu.” “ Sebetulnya, gadis yang membuat keputusan melulu sehingga melupakan Dia,” hati masih tidak berpuas hati. “ Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Andai hati mampu mengawal diri, pastinya gadis turut sama melepasi ujian ini,” hati akhirnya tunduk membisu. Memang hati hanya mampu membisu. Sama sekali tidak dapat berkata-kata. Segalanya adalah untuk Tuhan sehinggalah gadis mengenali dia. Dia yang sebenarnya milik Tuhan juga. Sama seperti gadis. Yang sepatutnya hanya mengabdikan diri kepadaNya. Gadis masih ragu-ragu. Antara kehendak jiwa, dan naluri manusia. Sedang Adam diciptakan Hawa. Hati juga masih keliru. Seperti gadis, tidak tahu mana yang hendak dipilih. Tetapi, sedikit-sebanyak hati tidak mampu berdusta bahawa naluri manusia melebihi kehendak jiwa, meski gadis menafikan naluri itu. Iblis laknatullah pula semakin banyak mencucuk. Tidak salah melayan naluri manusia. Kan itu fitrah? Teruskan keperluan psikologi, dan jangan mengabaikan pengabdian diri. Gadis hampir bersetuju dengan kata-kata sahabat baru. Sahabat baru yang bertanduk dua, panjang taringnya, merah matanya. Hati yang sememangnya telah menerima makin yakin dengan pendirian baru. Tetapi masih ada yang menghalang. Apa??? “ Katakalah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya, serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya, dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24. Hati terus membisu. Dia… Dia tidak hebat sebagaimana hebatnya ahli sufi terhadap pengabdiannya. Dia juga tidak punya kelebihan istimewa berbanding makhluk Tuhan yang lain. Yang dimiliki dia hanyalah hati yang tulus ikhlas mengasihi, dan mencintai. Gadis nampak semua itu. Hati juga telah mengerti makna di sebalik kebaikan. Sehingga akhirnya gadis tersungkur jua. Bukan hati tidak tahu bahawa cinta Ar-Rahman lebih agung jika mahu dibandingkan dengan sayangnya dia. Tetapi, hati memang tidak mampu menipu. Cinta Agung tidak dapat dilihat zahirnya sedangkan sayang manusia ada di depan mata. Cinta Agung hanya hadir dengan keyakinan jiwa sedangkan kasih dia tak perlukan keyakinan. Perlu tetapi tidak sepenuh jiwa. Hati memberontak mahu mencuba. Begitu juga dengan gadis. Mahu mencapai cinta yang boleh dipegang, tidak mustahil dibelai. Sedang gadis lupa. Cinta sebegitu tidak tentu hujungnya. Gadis tetap mengikut hawa nafsu sehingga tanpa sedar gadis telah melupakan Kekasih kekalnya. Gadis begitu bahagia. Bahagia yang tidak pernah dikecepi secara zahirnya sebelum ini. Bahagia dalam dunia ciptaan sendiri. Hidup gadis penuh dengan senyuman, dan keceriaan. Kedamaian menyelubungi jiwa. Hadirnya dia mengganti tempat Kekasih yang semakin lama dilupakan. Alangkah malang bagi gadis andai Kekasih itu turut sama melupakannya. Melupakan walau sesaat sudah mencukupi untuk membinasakan gadis. Hadirnya dia menyebabkan hati kian lalai, dan alpa. Kali ini gadis, dan hati gagal membezakan antara Dia yang mengenali gadis, lebih daripada gadis mengenali diri gadis sendiri. Dia yang lebih tahu mana yang terbaik untuk gadis. Dia yang memberi nikmat yang tiada terbalas. Dia yang segalanya Dia... Tidak mampu dihitung oleh gadis. Dia yang telah menciptakan hati bagi gadis agar hati itu kelak dapat menyenangkan jiwa!!! Memang gadis begitu naïf untuk membezakan. Sedang dia yang baru dikenali, tidak gadis tahu isi hatinya. Hati gadis hanya mengetahui perasaan gadis. Itupun tidak sepenuhnya sebagaimana Dia yang maha tahu mengetahui isi hati, jantung, gadis. Gadis tidak sama sekali mengetahui apa yang tersirat dalam jiwa dia. Hati gadis sebenarnya gagal memberi petunjuk kepada gadis. Pastinya! Hanya Dia yang memberi jalan, dan petunjuk ke arah yang benar. Satu hari, hati tersentak, setelah kian lama tidak tersentak. Pertamanya, ketika hati menyedari bahawa hati akan jauh dari Pencipta. Kali ini, hati tersentak lagi. Tidak seperti sebelumnya, hati gagal mentafsir erti sentakan itu. Gadis pula masih lalai, dan alpa. Gadis terus hanyut dengan dunia ciptaannya. Gadis tidak melupakan Tuhan tetapi hatinya berdikit-dikit makin jauh dari Al-Malik. Tiba-tiba, hati menangis. Ya! Hati menangis lagi tanpa alasan yang munasabah. Menangis, dan terus menangis. Tanpa diketahui puncanya. Gadis sayangkan dia kerana dia merupakan insan pertama bergelar ajnabi di hati gadis. Gadis tidak tahu tentang cinta, dan perasaan terhadap manusia sehinggalah gadis menemuinya. Dia yang begitu mengambil berat, dan sentiasa membuatkan gadis tersenyum. Gadis senang dengannya. Akan tetapi, ada perkara yang tidak dimilikinya yang menjadi impian gadis. Gadis mahu dia yang mampu menyokong perjuangan gadis dalam mengejar cintaNya. Gadis inginkan dia yang boleh memberi dorongan buat gadis dalam meneruskan perjuangan dakwah di muka bumi ini. Gadis mengharapkan agar dia dapat membantu gadis dalam mencapai matlamat hidup gadis… Yang mahu merasai manisnya iman… Mengecap cinta Ilahi… Menjadi isteri yang taat umpama Siti Muthiah yang dikagumi Nabi… Malahan, sama-sama mengejar halatuju menjadi kekasih Ilahi. Gadis sentiasa berdoa agar dicampakkan ALLAH kepadanya ciri-ciri itu. Tapi… Dia akhirnya pergi meninggalkan gadis. Dia pergi tak akan kembali. Entah ke mana perginya dia? Gadis pun tidak tahu. Adakah dia sengaja mahu meninggalkan gadis atau ada sesuatu yang menyebabkan dia tidak dapat ditemui? Atau gadis yang meninggalkannya? Gadis menangis. Tangisan penuh penyesalan. Baru gadis sedar, betapa alpanya gadis terhadap Tuhan. Baru sedikit diujiNya, gadis gagal menempuhinya. Dah jadi begini, baru teringat Pencipta? Ditinggalkan yang kekal, dikejar yang tiada pastinya. Gadis telah kalah dengan kehendak nafsu. Kehendak nafsu atau fitrah insani? Nafsu atau fitrah sama sahaja. Benarkah ia sama? Sama atau berbeza... Kedua-duanya akhirnya telah menyungkurkan gadis sehingga gadis tidak mampu untuk bangun kembali. Gadis terus menangis, dan menangis. Lebih kuat daripada tangisan hati. Lebih kuat daripada tangisan gadis yang terdahulu. Entah bila mahu berhenti.

Murottal al-Quran