Zikrayaat

Friday, October 24, 2008

Sifat Keibuan Sejati: Apakah Sudah Luntur?

1 comments
Apakah sifat-sifat keibuan sejati sudah luntur dari kaum ibu hari ini? Persoalan ini timbul memandangkan kian berleluasanya masalah disiplin di kalangan anak-anak remaja. Gejala salah laku, sikap ‘liar’, tidak terkawal dan terbiar sebilangan generasi muda ini membayangkan seolah-olah mereka kian ketandusan belaian, kasih sayang dan perhatian dari seorang ibu di rumah.

Dari tinjauan rambang ANIS ke atas mereka yang bergelar ibu, ramai yang merasakan pentingnya sifat keibuan ini dipupuk sejak awal untuk mengelakkan gejala lunturnya sifat berkenaan. “Sifat-sifat keibuan sejati mestilah dipupuk sejak awal, barulah akan timbul dalam diri,” ungkap Aslinda Abu Samah, 32.

Tidak dinafikan, ada di kalangan kaum wanita yang seolah-olah berasa kekok menjadi seorang ibu. Padahal menjadi ibu adalah peranan asas wanita apabila telah berkeluarga. Namun ini tidak bermakna sifat-sifat keibuan itu langsung tidak ada pada diri mereka. Kerana secara fitrah, setiap wanita yang melahirkan anak pasti dianugerahkan sifat keibuan oleh Allah. “Bila lahir saja anak, naluri keibuan memang ada di dalam jiwa seorang ibu,” ujar Siti Zaine Zainal Abidin, 26.

“Ini adalah fitrah (nature) bagi seorang yang menjadi ibu,” sokong Norhazlina Zainol, 25, seorang juruhebah. Norhazlina menambah, “Ibu yang bersikap kejam pada anak-anak adalah ibu yang mungkin mengalami masalah dalaman ataupun mendapat anak dengan cara yang tidak halal. Sedangkan kucing pun sangat menyayangi anak-anaknya, apatah lagi manusia yang dianugerahi akal fikiran.”Beliau percaya, walaupun kita hidup di zaman moden, tidak ada wanita yang tidak memiliki langsung sifat-sifat keibuan.

Rahayu Md Rashid, 26, tidak setuju jika dikatakan pemudi sekarang tidak boleh menjadi ibu yang baik, kerana berdasarkan pengalamannya sendiri berkahwin dalam usia muda (awal 20-an), dia tidak menghadapi masalah. “Cuma perlukan bantuan daripada ibu,” katanya. Seperti Rahayu, beberapa orang ibu mengakui mendapat sokongan dari ibu sendiri untuk memupuk dan menyuburkan sifat keibuan di dalam diri. “Mak banyak membentuk peribadi saya untuk menjadi seorang ibu yang sejati,” luah Noraidillah Zakaria, 28, ibu kepada dua orang cahaya mata.

Faridah Muhammad, 31, mempunyai pandangan yang sama. “Sukar pada mulanya berkahwin awal (pada usia 15 tahun) tapi berkat sokongan ibu, saya dapat menjaga anak-anak dengan baik,” kata Faridah yang memiliki dua orang anak remaja berusia 12 dan 16

Namun begitu, inisiatif sendiri juga perlu ada dalam menyuburkan sifat-sifat keibuan ini. Di sini perlunya ilmu berumah tangga. “Cara nak meningkatkan ilmu adalah terpulang pada diri sendiri. Bagi saya, ia ibarat makanan, kalau sudah selalu dimasak, kita sudah tahu apa rencah yang perlu dimasukkan,” Asana Evilianty Hassan, 40, memberi pandangan. Beliau yang berasal dari Medan, Indonesia, seorang tukang masak restoran.

Sifat-sifat keibuan sejati begitu penting kerana ia mempengaruhi pembentukan sahsiah generasi akan datang. Tetapi apakah yang dikatakan sifat-sifat keibuan yang sejati itu? Mungkin terlalu panjang jika hendak disenaraikan. “Ibu sejati adalah ibu yang sedia berkorban walau apa pun yang berlaku pada anak-anak dan dirinya. Yang sentiasa mendahulukan keperluan anak-anak daripada dirinya sendiri,” celah Rahayu.Pengorbanan adalah salah satu ciri seorang ibu sejati.

Pengorbanan yang ibu berikan itu tentunya lahir dari kasih sayang yang mendalam terhadap anaknya. “Bagi saya, kasih ibu sejati itu, tidak kira di mana dia berada, walaupun berjauhan dari anak-anak, dia tetap menjalankan tugasnya sebagai ibu,” ungkap Syazrah Ilyana Abdullah, 25, seorang ibu berkerjaya yang terpaksa berjauhan daripada anak dan suami demi memenuhi tuntutan tugas.

“Kasih ibu sejati itu berpanjangan, dan ia dapat dilihat dengan sangat jelas. Walaupun bukan pada anak sendiri, namun sifat-sifat itu tetap kelihatan,” kata seorang guru, Zarina Mohd Ali, 34. Kasih sayang adalah anugerah Allah yang amat bernilai.

Selagi tidak luntur kasih sayang di dalam hati, selagi itulah seorang ibu mampu menjadi seorang ibu yang sejati. Tetapi jika kasih sayang sudah luntur dan tidak cuba digilap kembali, akan lunturlah juga sifat-sifat keibuan sejati pada diri seorang ibu.

Kahwin Untuk Apa????

2 comments
Sesetengah wanita hari ini yang tidak dapat merasakan ‘mahalnya’ sebuah perkahwinan. Malah semacam takut untuk berkahwin. Kurang yakin berkahwin itu syok, membahagiakan dan dapat beri ketenangan. Lalu hati kecilnya bertanya, “Kahwin untuk apa?” Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz mengulas kemelut ini.

Kahwin dilihat banyak timbulkan masalah, menyebabkan ada wanita yang rela tidak berkahwin.

Dalam hidup ini, kita tidak boleh menggunakan akal semata-mata. Perkahwinan itu sunnah Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah bersabda, ‘Siapa yang tidak mengikut sunnahku, bukanlah ia dari golonganku.’ Dengan mengikut sunnah Rasulullah dalam berumah tangga, ia akan melahirkan ketenangan. Kita jangan tengok secara negatif, kita kena tengok yang positif. Bukanlah perkahwinan itu yang menyebabkan masalah tapi cara melaksanakannya.

Sebenarnya tak kahwin itu menyebabkan tidak tenang. Kalau Allah kata dengan berkahwin dapat ketenangan, Allah akan beri. Apa yang wanita selalu takut bila hendak kahwin? Takut risiko tidak dapat suami yang baik. Sebenarnya itu risiko kedua. Risiko pertama, celik mata saja kita tidak dapat berhubung, tidak dapat mengingati Allah.

Bila kita berhubung dengan Allah sepanjang masa, hati kita dipegang oleh hidayah Allah. Jadi, apa saja yang kita buat akan jadi amal soleh. Lalu Allah akan beri kehidupan yang baik (termasuk kehidupan berumah tangga).Kalau tak berhubung dengan Allah, syaitan akan berhubung dengan kita. Itu risiko kehidupan yang pertama.

Bila tak dapat buat amal soleh, datang risiko kedua – musibah. Atau Allah datangkan istidraj… kadang-kadang Allah beri badan yang sihat, harta yang banyak, diberi rezeki secara fizikal tapi tidak dapat rezeki dalam bentuk ketenangan. Ketenangan akan jatuh pada hati orang yang yakin pada Allah. Ini formula yang tak boleh dilanggar.

Ada wanita yang belum kahwin-kahwin sebab “Belum ada jodoh” atau “Susah nak cari calon, maklumlah kita ni orang perempuan.” Apa jalan keluarnya?

Saya kata, you pinanglah orang lelaki! Perkara ini tidak salah. Siti Khadijah dulu pun pinang Rasulullah. Buatlah dengan cara yang betul, seperti melalui orang ketiga. Soalnya, macam mana usaha yang dibuat untuk dapat jodoh itu?

Usaha ada dua aspek. Usaha nombor satu, hablumminallah. Kita baik dengan Allah dulu. Kenal pasti apa yang Allah suka. Lepas menyerahkan diri dengan Allah iaitu mengucap dua kalimah syahadah, kita dirikan solat. Solat biar yang betul-betul diterima Allah.

Betul rukun fi’li, rukun qauli dan rukun qalbinya. Kalau hendak tahu sama ada Allah terima atau tidak solat kita, lihat tindak-tanduk kita. Kita pun boleh rasa solat kita lalai atau tidak. Bila kita baik dengan Allah, kita minta pun dengan Allah. Allah taala akan pandu dalam usaha kita. Allah beri panduan. Allah tidak akan menganiayai kita. “Sesungguhnya Allah tidak menganiaya kamu tetapi kamulah yang menganiaya dirimu sendiri,” maksud firman Allah.

Jadi usaha mesti dengan Allah dulu. Barulah kita boleh lakukan perubahan dalam hidup kita. Kita kena muhasabah. Kalau berlaku sesuatu pada diri kita, semak dulu macam mana diri kita dengan Allah.Dalam membuat keputusan, kita susah hendak nilai. Kita terlalu lemah. Kadang-kadang kita ikut luaran saja, sebab itu tersalah pilih pasangan.

Dalam soal ini, Allah kata, ‘Kau perlukan Aku’. Buatlah istikharah supaya dapat calon pilihan yang terbaik, yang boleh melahirkan kehidupan dan zuriat yang baik.

Ada wanita yang rasa rendah diri dan putus asa untuk kahwin sebab pernah dianiaya. “Dulu orang buat saya, orang sihir saya,” luahnya.

Kita jangan risau sangat apa yang orang hendak kenakan pada kita. Kalau kita baik dengan Allah, Allah tidak akan aniaya kita. Sebab itu asas tauhid sangat penting. Asas tauhid adalah asas untuk kenal siapa Allah – Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kaya… segala perbendaraan berada di tangan-Nya.

Maknanya, segala jodoh yang baik ada di tangan Allah. Allah juga maha pemurah. Jadi kalau kita ‘kawan’ baik dengan Allah, apa yang kita hendak bimbangkan? Sebab Yang Paling Kuat ada di sisi kita. Kita tak perlu takut dan bimbang. Mintalah supaya Allah pandu kita. Allah hanya akan memandu orang yang beriman.

Bila hendak pilih jodoh, kita perlu merisik. Apa yang hendak dirisik?

Perkara pertama untuk kenal calon pasangan, selidik solatnya. Macam mana solatnya. Kemudian risik sama ada mengaji Quran atau tidak, dan lain-lain perkara asas.

Bagaimana kalau dia jaga solat tapi akhlaknya kurang atau dia buat perkara-perkara yang tak sepatutnya?

Saya pernah ditanya oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah NGO. Mereka buat kajian masalah keluarga di dalam masyarakat. Dia tanya, ‘Doktor rasa apa punca timbulnya masalah keluarga ini?’ Kata saya, ‘Senang saja. Puncanya mereka tidak solat.’ Dia terperanjat kerana berdasarkan kajiannya, 50 peratus dari keluarga yang terlibat adalah orang yang tahu agama. Orang yang solat.

Ini bukan saya yang cakap tapi Rasulullah yang kata: Siapa yang solat yang solatnya tidak dapat mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, sesungguhnya dia tidak solat. Atau dalam hadis lain disebut, sesungguhnya dia bukan semakin hampir dengan Allah tapi bertambah jauh dari-Nya.

Jadi konsep solat adalah ‘mencegah dari perbuatan keji dan mungkar’. Kita berikrar pada Allah lima kali sehari bahawa ‘hidupku, matiku… hanya untuk Allah’ tapi bila keluar dari solat, kita buat perkara yang tidak selari dengan ikrar kita. Sebab itu Rasulullah kata, kita sebenarnya tidak solat.

Solat sebenarnya dapat pastikan kita buat amal soleh, punca ketenangan. Jadi dalam memilih calon pasangan, pertama buat istikharah, kedua selidik. Selidik biar betul-betul, jangan sambil lewa.

Wanita bagaimana yang menjadi pilihan lelaki untuk dijadikan pasangan hidup?

Sebenarnya lelaki berkehendak kepada wanita solehah. Sebab wanita solehah inilah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga. Menyejukkan pandangan mata. Untuk memilih calon isteri, manusia memang sukakan kecantikan tapi nombor satu mesti agamanya.

Agamanya itu yang akan cetuskan ketenangan. Bukan saja lawa fizikal tapi lawa juga akhlaknya. Lawa yang berkekalan adalah akhlak – itu yang menyejukkan pandangan mata dan hati. Sebab kita hendak tengok dia bukan sehari dua, bukan sebulan dua tapi sepanjang usia perkahwinan.

Cuba tanya pada orang yang berkahwin, kenapa kahwin? Pernah tak orang jawab, saya kahwin kerana Allah. Orang yang kahwin kerana Allah akan memastikan jenis pasangan yang dipilihnya. Dia akan kaji aturan Allah untuk mendapatkan pasangan.

Mahalnya Perkahwinan Bila Ada Ketenangan

0 comments
“Mahalnya sebuah perkahwinan adalah pada qurratu a’yun iaitu hadirnya pasangan dan anak-anak yang menyejukkan pandangan mata hingga lahirnya ketenangan. Ketenangan ini yang paling mahal. Sebab itu dikatakan rumahku syurgaku,” kata perunding motivasi Dr. Shafie Md Amin al-Hafiz.

Ketenangan memang dicari-cari oleh manusia. Bagi seorang lelaki misalnya, apabila hendak mendirikan rumah tangga, fitrah hatinya inginkan seorang wanita yang solehah sebagai teman hidup kerana, menurut Dr. Shafie, “wanita solehahlah yang dapat melahirkan ketenangan dalam rumah tangga.

Isteri yang solehah, ujarnya, akan menjana aktiviti amal soleh di dalam rumah tangga yang menjadi saluran Allah datangkan ketenangan atau kehidupan yang baik. Firman Allah: “Siapa yang mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (An-Nahl: 97)Isteri yang solehah juga menyejukkan pandangan mata, sekaligus menenangkan jiwa.

“Dalam berumah tangga, kita hendakkan kehidupan yang lapang dan tenang. Tapi kenapa rumah tangga jadi sempit?” soal Dr. Shafie, pengasas Kaedah Al-Huffaz, teknik mudah menghafaz al-Quran.Beliau berkata, sempitnya rumah tangga disebabkan kita tidak ikut formula yang Allah beri dalam mengatur kehidupan.

“Dalam memberi ketenangan, Allah tidak beri begitu saja. Ada formula, ada peraturannya,” ungkapnya dalam pertemuan di pejabatnya di Taman Nirwana, Ampang, Selangor. Jelas Dr. Shafie, secara umumnya hati akan tenang bila ingat Allah. “Ketahuilah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang,” demikian maksud firman-Nya (Ar-Ra’d: 28).

Di dalam solat, kita memohon melalui bacaan al-Fatihah, “Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat …”Nikmat adalah sesuatu yang setiap orang suka dan ia boleh menenangkan hati atau memberi kebahagiaan. “Tetapi dalam realiti,” terang Dr. Shafie, “orang hanya melihat nikmat itu ada pada harta, isteri, anak-anak.”

“Ada yang banyak harta, banyak anak tapi tak bahagia. Kalau semua yang kita miliki itu dapat mendorong kita melakukan amal soleh, barulah ia menjadi sumber kebaikan (dan ketenangan),” jelasnya, merujuk pada amal kebaikan yang dilakukan dalam keadaan beriman iaitu yakin kepada Allah dan ganjaran di akhirat.

Allah menjelaskan, “Dan siapa yang berpaling dari peringatan-Ku, sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit.” (Thaha: 124)Oleh itu, kehidupan yang sempit selepas kahwin adalah natijah dari tidak mengikut aturan Allah dalam mengatur rumah tangga, termasuklah seawal memilih jodoh lagi.

“Kadang-kadang sudah bagus dalam memilih pasangan tapi di hari perkahwinan banyak unsur-unsur negatif yang boleh memberi efek kepada perkahwinan,” katanya, memberi contoh amalan bersanding, unsur muzik dalam majlis walimah, mahar yang menyusahkan dan sebagainya.

Dr. Shafie berkata, “Mesti balik kepada formula yang digariskan oleh agama. Kalau tidak, kita akan membinasakan diri kita.” Katanya, rumah tangga yang baik tidak akan lahir jika agama hanya diletakkan sebagai satu segmen kecil dalam kehidupan. Sedangkan, menurutnya, agama Islam itu ad-deen – formula kehidupan.

“Melalui agama, semua formula kehidupan Allah sudah ajar kepada kita,” katanya. “Dalam kehidupan ini setiap sesuatu ada formulanya,” tambahnya, dengan memberi contoh perlunya kita ikut resipi jika hendak buat kuih. Katanya, Allah telah memberi formula melalui sabda Nabi-Nya, kalau berkehendakkan kehidupan yang baik, rumah tangga yang balik, pilihlah calon pasangan yang beragama.

“Manusia memang sukakan kecantikan, tapi asas pemilihan nombor satu mesti agamanya. Agama itu mencetuskan ketenangan,” katanya.

Dr. Shafie berkata, jika formula dari Allah ini dituruti dalam mendirikan rumah tangga bermula dari pemilihan jodoh lagi, dari situlah tercetusnya ketenangan yang akan menjadikan mahalnya sebuah perkahwinan.

Saturday, October 18, 2008

3rd Syawal

0 comments





2nd Syawal...

26 comments





hmm.. pagi2 lagi abi dah buat macam2 plan... banyaknya rumah kawan2 lama yg nak disinggahnya.. nasib baik rumah kawan baik ummi ada tersenarai dlm list yg abi buat...

Friday, October 17, 2008

Ceritera Eidulfitri 2008 - 1st day Syawal-

0 comments

Masih belum terlewat rasanya untuk mengucapkan Salam Lebaran Eidulfitri buat semua sahabat... Tahun ni 1 Syawal di sambut di kampung abi Kampar, Perak... sayu juga rasanya nak tinggalkan kampung... tapi.. sebelum tu dah 2 hari duk umah banting.. tolong mengemas apa yang patut... risau.. coz dah bertahun2 rutin itu saya yang lakukan.. almaklum... anak perempuan bongsu.. yg lain sudah sibuk dengan rumah masing2... namun, tidaklah serisau mana.. mengenangkan ada pengganti yg akan membantu emak di dapur di pagi Syawal nanti.. siapa lagi kalau bukan mak usu ammar....terima kasih banyak2...


Waktu petang tu.. selepas ziarah rumah saudara-mara sebelah suami, sempat lagi singgah ke rumah terbuka MB Perak... first time singgah ni... sampai2 majlis dah habis... tapi sempat juga lah makan cendolnya yg sedap tu... then sempat juga snap beberapa keping gambar atas stage.. maklumlah org dah tak der sgt.. ramai dah bersurai.. terserempak juga dgn MB dan datin Fatimah... sempat bersalam.. nak mengambil gambar kononnya.. tapi tak sempat.. tengok kesibukan MB.. serba salah pula rasanya...


saja ajak ammar bergambar atas stage


Ini idola ammar yer


Bergambar dengan family abg nyah di depan kediaman rasmi MB Perak


ni pintu masuk kediaman rasmi MB Perak...


ni time nak balik kampung kampar... seronoknya ammar pakai kopiah anak soleh...
gara-gara ummi terpengaruh dgn promosi jurujual di pasar jawa,klang.. but nice look...

abi dan ammar yg sama2 ceria di pagi syawal


ummi ceria juga... walaupun sedih terkenang keluarga di kampung.....
tahun ni first time sambut 1 syawal di kampar.. dah 2 thn sambut kat banting dulu.. mesti adil....



sebahagian family sebelah abi.. cuma ni je yg beraya kat kg... yg lain turn sebelah pasangan masing2... nasib baik turn kami kat perak thn ni... kalau tak... cian dgn cik ala la... beraya dgn opah n atuk jer...pak ngah n mak ngah pun beraya kat kampar dulu...
Our happy family
Raya kali ni... abi paling seronok sekali.. letih pun dia tak kisah...ummi pun seronok gak.. akhirnya dapat gak belajar buat lemang.. selalu balik kg.. opah dah siap buat lemang.. tinggal makan jer...apa pun mmg abi plg seronok raya ni...tengok plak apa plan abi raya kedua n seterusnya nnt....












12 makanan yang digalakkan untuk pengantin dan hikmahnya dalam Islam...

0 comments

Rasulullah pernah bersabda kepada menantunya Saidina Ali r.a
"Wahai Ali, apabila pegantin perempuan masuk ke dalam rumahmu, maka suruh tanggalkan kasutnya ketika dia duduk dan membasuh kedua-dua kakinya. maka sesungguhnya apabila kamu berbuat demikan ALLAH mengeluarkan 70 jenis kefakiran dari rumah kamu..dan ALLAH menurunkn 70 rahmat yang sentiasa menaungi di atas kepala pengantin sehingga keberkatan itu meratai penjuru rumahmu dan pengantin itu sejahtera dari penyakit gila,sawan, dan sopak selama mana dia berada di dalam rumah tersebut.Laranglah pengantin itu dari makan & minum4 jenis makanan ini..Susu, Cuka, Ketumbar, epal masam. Saidina Ali r.a bertanya..Kenapa..?
Baginda menjawab..
"Kerana rahim perempuan itu kering dan sejuk dengan sebab dari 4 perkara (makanan) ini..untuk menghalang dari dapat anak..Sesungguhnya tikar di penjuru rumah adalah lebih baik daripada perempuan tidak dapat anak"
Saidina Ali bertanya lagi..Kenapa cuka dilarang ?( semasa haid dan seminggu pertama perkahwinan)
Baginda menjawab:"Apabila minum cuka semasa haid.. sesungguhnya haidnya itu tidak bersih selama-lamanya"
Berikut 12 makanan yang digalakkan..
1. Roti
2. Jintan Manis
3. Asparagus
4. Pisang
5. Barli
6. Selasih
7. Mentega
8. Lobak Merah
9. Biji Hitam ( Habbah Al Sauda )
10. Ayam
11. Tamar (Kurma)
12. Terung
1. Roti (khubz)
Roti yang paling bagus ialah diperbuat daripada gandum yang baik dimasak dalam pembakar roti yang bulat. Roti itu dibiarkan sejuk sebelum dimakan, jika tidak kita akan merasa haus bila memakannya. Roti yang sudah lama dan tidak elok akan menyebukan perut. Roti yang terdapat sekam gandum mudah dicernakan. Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jangan potong roti dengan pisau. hormatilah roti itu dengan memotong dengan tanganmu kerana Allah menghormati roti itu".
2. Jintan Manis (anisun)
Jintan manis banyak khasiatnya ianya melegakan kesakitan dalam badan, melancarkan aliran keluar haid, membanyakkan susu dan membuang gas dalam usus. Ianya juga boleh digunakan dalam bentuk serbuk dan disapu disekeliling mata bagi menguatkan pandangan mata.
3. Asparagus (hiyawn)
Asparagus berkhasiat bagi membuka sekatan pada buah pinggang dan memudahkan kelahiran anak.
4. Pisang (mawz)
Pisang boleh menyejukkan badan dan ianya boleh dimakan dengan madu lebah.
5. Barli (sya'ir)
Barli berkhasiat sebagai penyejuk badan. Rasulullah s.a.w. pernah memberi sup barli kepada orang yg mengidap demam.
6. Selasih (manis rayhan)
Selasih berkhasiat untuk menguatkan organ hati, memudahkan tidur dengan cara menyapu kepala dengan basil yang dicampurkan air.
7. Mentega (zubdah)
Mentega khasiatnya memanas dan melembapkan. Baik untuk menghilangkan sembelit. Mentega yang dicampurkan dengan kurma dan madu sejenis makanan yang menghilangkan rasa mengidam pada perempuan hamil.
8. Lobak merah
Kegunaannya memanaskan badan. Ianya juga melancarkan aliran haid dan air kencing.
9. Biji hitam (habbah al sauda)
Dilaporkan bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda "Jadilah seperti biji habb al sauda kerana biji ini ubat semua penyakit kecuali kanser dan mati". Adalah dilaporkan juga bahawa Allah Taala menunjukkan bahawa "ia" itu ialah habbah al sauda menghapuskan angin dalam usus dan demam. Baik untuk merawat 'leukoderma' dan membuka saluran urat yang halus. Berguna untuk menghilangkan penyakit selesema.
10. Ayam (dajaj)
Memudahkan penghadaman. membetulkan imbangan badan, baik untuk otak dan badan, serta mencantikkan rupa paras. Walau bagaimanapun jika dimakan terlalu banyak boleh menyebabkan penyakit sendi dan yang terbaik ialah daging ayam betina yang tidak bertelur.
11. Tamar kering (tamr)
Nabi s.a.w. pernah bersabda, "Rumah yang tiada tamar atau kurma adalah rumah yg tiada bermakanan". Nabi s.a.w. sendiri pernah menanam kurma atau tamar. Kurma hendaklah dimakan dengan badam untuk menghapuskan parut yang tidak diingini
12. Terung (bazinjan)
Terung hitam menyebabkan keluarnya hempedu. Kecenderungan benda ini mengeluarkan hempedu dapat dibetulkan dengan memakannya bersama daging.
Sumber : Majalah NUR – Dis 2005

Kisah Cintaku

0 comments

Suatu pagi aku terbangun dan berpeluang melihat mentari terbit. Aaah.. kecantikan alam ciptaan Allah memang tiada tolok bandingnya. Sedang aku memerhati, aku puji Tuhan atas segala keindahan yang telah Dia sajikan .aku duduk dan terasa kehadiranNya di sisiku.Dia bertanya kepadaku, “Adakah kamu mencintai Aku?” Aku menjawab, “Sudah tentu! Engkaulah Penciptaku, masakan aku tidak mencintaiMu.”
Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan cacat anggota, adakah kamu akan mencitaiKu?” Aku tergamam seketika. Aku lihat tangan,kaki dan seluruh anggotaku; aku teringat pelbagai kerja yang mustahil aku lakukan tanpa anggotaku ini yang selama ini tidak kusedari kepentingannya.Kemudian aku jawab, “Tentunya ia amat sukar bagiku, tetapi aku akan tetap mencintaiMu.”
Kemudian Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan buta, adakah kamu akan menyayangi segala ciptaanKu?” Bagaimana mungkin bagiku untuk mencintai sesuatu yang di dunia ini yang tak mampu aku lihat? Kemudian aku berfikir...ramai orang yang ditakdirkan buta di dunia ini, dan mereka masih mencintai Allah dan segala ciptaanNya. Lantas aku menjawab, “Amat sukar bagiku membayangkan keadaanku yang sedemikina rupa, namun begitu aku akan tetap menyintaimu Ya Allah.”
Dia bertanya lagi, “Jika kamu ditakdirkan pekak, adakah kamu akan tetap mendengar kepada kata-kataKu?” Bagaimana mungkin bagiku mendengar jika aku pekak? Kemudian aku tersedar bahawa mendengar itu tidak semestinya menggunakan telinga; tetapi menggunakan hati. Aku jawab, “Walaupun takdir itu amat berat bagiku, namun aku akan tetap menyintaiMu.”
Dia menyambung lagi persoalanNya, “Jika kamu ditakdirkan bisu adakah kamu akan terus memujiKu?” Aku tertanya lagi, bagaimana aku boleh memuji tanpa suara? Aku terfikir kemudian yang Allah mahu kita memujiNya dari dalam hati dan jiwa kita; tidak penting bagaimanakah bunyinya. Kemudian aku menjawab, “Sungguhpun aku tidak mampu untuk mambunyikan pujian bagiMu, aku akan tetap memujiMu.”
Dan...Dia terus bertanya lagi, “Adakah kamu benar-benar menyintaiKu?” dengan nada yang tegas dan penuh keberanian. Aku jawab dengan yakin, “Ya, benar Tuhanku, aku menyintaimu kerana Engkaulah satu-satunya Tuhanku dan Tuhan yang sebenar!” Aku fikir jawapanku tadi sudah cukup bagus untuk menjawab soalanNya tadi, tetapi Dia terus bertanyakan lagi, “Kalau begitu kenapa kamu masih melakukan dosa?” Aku menjawab, “Kerana aku cuma manusia biasa yang selalu lalai; aku tidak sempurna...aku bukan ma'sum.” “Kalau begitu, kenapa ketika kamu senang dan gembira...kamu lupakanKu; kamu lari jauh daripadaKu? Dan kenapa ketika kamu susah dan mahukan bantuan...kamu terus ingat kepada Aku; kamu datang dekat dan merayu kepada Aku?”
Aku tidak mampu berkata-kata. Yang kusedari...titisan panas turun membasahi pipiku. Dia sambung lagi, “Mengapa kamu buat begini...kadang-kadang sujud menyembahKu, dan kemudian membelakangiKu; tidak pedulikanKu? Mengapa kamu hanya datang mencariKu hanya ketika kamu nengingatiKu? Mengapa kamu meminta kepadaKu sedang kamu tidak setia kepadaKu?”
Kurasakan titisan panas mengalir deras membasahi pipiku tanpa henti. “Mengapa kamu malu kepadaKu? Mengapa kamu tidak mahu menyebarkan suruhanKu? Mengapa ketika kamu dizalimi kamu adukan kepada yang lain sedang Aku sedia mendengar segala rintihanmu? Mengapa kamu sering membuat alasan ketika Aku memberimu peluang untuk berkhidmat di jalanKu?”

Ku gagahi bibirku untuk mengucapkan patah-patah perkataan bagi menjawab segala soalan yang bertubi-tubi diajukan kepadaku. Tetapi aku tidak punyai jawapan bagi persoalan-persoalan tadi. Lidahku yang selama ini lancar berkata-kata, kini kelu. Otakku ligat mencari jawapan... atau alasan... namun tiada apa yang kutemui sebagai jawapan.
Dia berkata-kata lagi... “Kamu diberikan sebuah kehidupan. Aku jadikan dalam dirimu keistimewaan dan kelebihan berbanding orang lain untuk kamu berjuang di jalanKu, tetapi kamu tetap berpaling dari jalanKu. Aku tunjukkan kepadamu kata-kataKu sebagai panduan kamu dalam hidup ini, tetapi kamu tidak mahu mempelajari atau menghayatinya.Acap kali Aku berkata-kata kepadamu, tetapi kamu berpaling daripada melihatnya. Aku turunkan kepada kamu pesuruhKu, tetapi kamu tidak ambil peduli ketika sunnahnya ditinggalkan. Aku dengar segala permintaan dan rayuanmu kepadaKu... dan semuanya telah Aku perkenankan dengan pelbagai cara.”SambungNya lagi, “Kini... adakah kamu menyintaiKu?” Aku tidak mampu menjawabnya lagi. Bagaimana harus aku jawab persoalan ini.. Dalam tak sedar, aku malu dengan segala apa yang telah aku lakukan selama ini. Aku tidak lagi punya alasan bagi menyelamatkan diriku. Apa yang boleh aku jawab bagi persoalan itu? Ketika hatiku berteriak menangis, dan bercucuran airmata mengalir turun di kedua-dua belah pipiku, aku merintih, “Oh Tuhanku... ampunkanlah segala dosaku. Aku tidak layak menjadi hambaMu Ya Allah...”
..Kemudian Dia menjawab, “Sifatku pengampun...barangsiapa yang memohon keampunan dariKu, nescaya Aku ampunkannya. Dan Aku ampunkan kamu wahai hambaKu.”Aku bertanya kepadaNya, “Mengapa Engkau tetap mengampunkanku sungguhpun aku melakukan kesalahan berulangkali dan memohon ampun berulangkali? Sampai begitu sekalikah cintaMu terhadapku?”
Dia menjawab “Kerana kamu adalah ciptaanKu. Aku sekali-kali tidak akan mengabaikanmu. Apabila kamu menangis aku akan bersimpati kepadamu dan mendengar segala rintihanmu. Apabila kamu melonjak kegirangan Aku akan turut gembira dengan kegembiraanmu. Apabila kamu berasa gundah dan kesepian, Aku akan memberikanmu semangat. Apabila kamu jatuh Aku akan membangkitkanmu. Apabila kamu keletihan Aku akan membantumu. Aku akan tetap bersama-samamu hinggalah ke hari yang akhir dan Aku akan menyayangimu selama-lamanya.”Seingat aku... aku tidak pernah menangis sebegini. Aku sendiri tidak mengerti kenapa hatiku ini begitu keras; tidak mampu menangis menyesali segala dosaku selama ini. Dan..buat kali pertamanya dalam hidupku ini... aku benar-benar solat dalam ertikata yang sebenar. Ya Allah..betapa indahnya dapat merasakan kehadiran-Mu di setiap waktu..

Murottal al-Quran