Zikrayaat

Friday, November 18, 2011

Sistem Pendidikan Ulu'l Albab

5 comments


Salam buat semua sahabat pembaca....

Usai solat berjemaah setiap hari... pasti saya akan dipeluk ammar dan dia akan berkata " ummi, doakan ammar jadi hafiz quran dan doktor "... asalnya dr dia pandai solat.. saya selalu tiupkan di telinganya "ammar nanti besar jadi hafiz quran ye"... saya selalu berdoa moga Ammar boleh jadi hafiz al-quran....

dan Alhamdulillah, sewaktu mengambil laporan prestasinya di al-Fatih beberapa minggu lepas... teacher ida juga ada menyatakan keputusan hafazan al-quran dan doa ammar semuanya excellent... Alhamdulillah... ummi selalu berdoa moga Allah menerangkan hati ammar untuk menjadi hafiz al-quran... malah dia bukan saja menghafaz surah2 malah iqro' dan bacalah anakku juga dihafaznya... bukannya dieja tp dihafaz... :) :)

kali ini saya ingin berkongsi sebuah artikel berkenaan gabungan pendidikan... masyaAllah itu juga yg saya impikan... adakah bakal terlaksana... mudah2an ada begitu..



Disedari wujudnya perbezaan pendapat di kalangan ahli agama serta ulama berikutan perbezaan fahaman yang mereka pelajari sewaktu menuntut ilmu.

Bukan setakat itu saja, ada antara mereka tidak ketinggalan mengutuk dan memperrendahkan martabat sesama sendiri dengan mengatakan mereka lebih hebat dan pandai dalam bidang agama hingga akhirnya mewujudkan dinding sempadan antara ahli agama.

Hal sebegitu turut berlaku di negara kita apabila ada penuntut terikut-ikut fahaman mereka hingga sama-sama memperrendahkan martabat dan enggan mendengar pendapat orang lain dengan alasan belajar di luar negara dan guru berbangsa Arab.

Sebenarnya, jika kita ingin melahirkan ilmuan Islam, setiap ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kerajaan perlu merancang mewujudkan satu proses pengajian menerusi fahaman yang pelbagai.
Click Here


Proses saringan pelajar pintar, rajin dan cerdas, yakni yang memang menjurus dalam bidang agama, perlu dilakukan daripada peringkat sekolah rendah lagi.


Ini seperti menggabungkan beberapa fasa pengajian berbeza, terutama untuk pelajar yang menyerlah dan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), mahupun Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Contoh langkah terbaik ialah dengan mewujudkan Diploma tahfiz di Darul Quran atau mana- mana pusat tahfiz terbaik, seterusnya menghantar mereka melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda (BA).

Secara peribadi, saya berpendapat jika ingin menghantar bagi peringkat BA, tempat terbaik adalah di mana-mana universiti di Jordan.

Ini kerana kebanyakan pensyarah di Jordan adalah gabungan tenaga pengajar yang memiliki Doktor Falsafah (PhD) dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan beberapa negara Islam lain.

Kepelbagaian latar belakang pensyarah ini akan membantu melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran.

Ini ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa Arab ‘fushah’ yang sederhana.

Selain pengajian di universiti, perlu ada ‘mentor’ yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian ‘talaqqi’ dengan ulama atau cendekiawan di Jordan, khususnya di Amman.

Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk menghabiskan cuti semester dengan pengajian ‘talaqqi’ di Syria dengan tenaga pengajar yang terkenal hebat dalam bidang agama.

Hasilnya, dengan gabungan ini kita berharap setiap pelajar dapat menamatkan pelajaran mereka dalam dua gabungan pengajian berbeza, sekali gus memperoleh kekuatan bahasa Arab dan asas utuh dalam ilmu Syariah, Fiqh atau Usuluddin.

Selain itu, perlu mewujudkan peluang pengajian di peringkat Sarjana (MA) menerusi pengajian di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah.

Ini perlu kerana ia dilihat sebagai kelebihan yang terbaik, terutama kerana Mesir adalah pusat ilmu Islam sangat berpengaruh di dunia.

Namun, pada masa sama, adalah sebaik-baiknya jika pelajar turut diberikan sokongan serta nasihat supaya menghadiri pengajian di Darul Ifta, Mesir.

Dengan gabungan ini, diharapkan pelajar dapat memantapkan ilmu dalam diri menerusi dua pengajian berbeza yang pastinya berbeza antara satu sama lain.

Seterusnya ialah merangka pelan pengajian supaya mereka dapat melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

Ini perlu kerana halangan di kalangan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ini adalah Universiti Islam Madinah dan Makkah payah menerima graduan BA atau MA dari pusat pengajian atau universiti lain.

Oleh itu, sesuatu usaha perlu dilakukan bagi membolehkan pelajar ini memasuki universiti berkenaan dengan harapan, iaitu kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan serta diperluaskan pula dengan pengajian di tanah suci ini.

Di samping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika wujud ‘mentor’ yang mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu daripada cara talaqqi.

Pada musim cuti, sebaik-baiknya jangan diizinkan pelajar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, sebaliknya perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru di sana pula.

Hasilnya, apabila tamat belajar, diharapkan gabungan pengajian daripada pelbagai pusat pengajian membolehkan pelajar sedikit sebanyak memiliki gabungan ilmu untuk menerima pandangan pihak lain dan mampu memberi pandangan lebih bernas dan berfikiran terbuka.

Dengan ini, mungkin kita mampu menghasilkan seorang ilmuan Islam yang berwibawa, dihormati serta mampu memberikan pendapat bernas hasil gabungan ilmu yang diperoleh daripada percampuran pelbagai mazhab itu tadi.

Selain itu, mungkin kita boleh merangka bentuk pengajian lain apabila pelajar ini kelak mampu menggenggam PhD dengan menghantar mereka menghadiri kuliah Darul Ulum di Pakistan bagi mendalami ilmu hadis.

Mungkin, pada masa sama, setiap pelajar yang terpilih boleh dihantar pula menghadiri pengajian di negara lain seperti United Kingdom kerana ini boleh membantu mereka melihat dunia dalam konteks berbeza berbanding di negara Arab.

Ini sekali gus bukan saja membantu mereka menggarap metodologi Barat, sebaliknya mampu mengasah kefahaman bahasa Inggeris yang boleh digunakan untuk berdepan pelbagai pihak.

Jika kita mampu melahirkan ilmuan melalui proses ini, tidak mustahil individu itu mampu meredakan pertengkaran aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih.

Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di negara kita sukar ‘dineutralkan’ kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

Namun, tidak dinafikan, banyak cabaran merintang dan belum pasti menjernihkan keadaan, sebaliknya mungkin juga mengeruhkan lagi situasi sedia ada.

Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran yang sedia wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’, justeru kita tidak terima dan sebagainya.

Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pasti mampu serba sedikit merapatkan jurang yang wujud di kalangan graduan agama di negara kita.

Kesimpulannya, kita memang memerlukan seorang cendekiawan Islam di negara kita yang bertaraf dunia kerana ini satu daripada caranya untuk merapatkan kembali perbezaan pendapat antara aliran sedia ada.

Perkara ini memakan kos dan masa, namun hasilnya kita berharap akan menerbitkan ilmuan bertaraf tinggi, berfikiran terbuka, mampu menerima pendapat banyak pihak dan disegani seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi dan Sheikh Mufti Taqi Uthmani.


InsyaAllah AMMAR HAZIQI boleh....

Murottal al-Quran