Oleh Zamri Mohamad
HASSAN AL-BANNA di dalam wasiat sepuluhnya pernah menyebutkan: ``Berusahalah sedaya upaya untuk bertutur dalam bahasa Arab yang betul kerana bahasa Arab yang betul itu, adalah satu-satunya syiar Islam.''
Ramai yang mempersoalkan dan bertanya mengapa bahasa Arab begitu penting untuk dipelajari dan dihayati. Bukankah situasi hari ini memerlukan kita mempelajari bahasa negara-negara maju untuk terus berkembang?
Kita mengetahui, pengetahuan adalah kunci kepada penguasaan dalam pelbagai bidang. Maka pengetahuan bahasa Arab sebagai salah satu cabang ilmu yang sangat penting dalam memberi sumbangan yang sama, lebih-lebih lagi untuk lebih mendalami pemahaman ajaran Islam dan mengembangkan pemikiran-pemikiran keagamaan pada umumnya serta memenuhi keperluan-keperluan dalam bidang-bidang yang berkaitan.
Situasi tempatan memperlihatkan usaha Kementerian Pendidikan untuk melatih 500 orang guru Bahasa dan Kesusasteraan Arab bagi memantapkan pengajaran Bahasa Arab di semua sekolah kebangsaan di seluruh negara. Malah Timbalan Perdana Menteri pernah menyuarakan, sukatan bahasa Arab perlu diperkenalkan secara khusus kepada semua pelajar yang mengambil Pendidikan Islam kerana ia mampu membentuk perkembangan pelajar-pelajar Islam sejajar dengan kehendak semasa yang mahukan pelajar menguasai lebih daripada satu bahasa.
Al-Quran secara jelas meletakkan keutamaan terhadap bahasa Arab melalui firman Allah, Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya. (Yusuf:2).
Bahasa Arab adalah bahasa pilihan Allah dalam menyampaikan mesej kehidupan di dunia dan akhirat kepada manusia. Ini digambarkan di dalam surah Yusuf ayat 28: Iaitu al-Quran yang berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang keterangan yang terpesong; supaya mereka bertakwa.
Apakah sebenarnya keistimewaan bahasa Arab? Keistimewaan bahasa Arab lama diperakui dan di dibuktikan oleh pakar-pakar ilmu bahasa (linguisticans), pengkaji bahasa (philogist) dan perkamusan (lexicographers). Bahasa Arab mempunyai kecantikan yang tersendiri dengan susunan irama, urutan kata dan irama kata yang cukup menyentuh jiwa para pendengarnya.
Gabungan ketiga-tiga unsur ini, maka lahirlah rentak dan rima vokal dan konsonan muzik sealunan meliputi penggunaan bibir (labial), gigi (dental), lidah, (lingual), lelangit (palatal) dan kerongkong (guttural).
Ini dapat dibuktikan melalui penggunaan ilmu tajwid seperti yang dipraktiKkan dalam membaca al-Quran. (Islam dan al Hadith: Abdul Halim el Muhammady). Pencinta bahasa Arab akan mendapati bahasa ini turut kaya dengan makna dalam setiap kalimah dan keutuhannya tetap jelas sehingga ke hari ini, meskipun kemunculan slanga, bahasa pasar dan dialek-dialek daerah atau loghat-loghat tertentu yang begitu luas diguna pakai oleh generasi hari ini.
Para ulama bersepakat meletakkan pengetahuan bahasa Arab penting untuk mempelajari, memberi fatwa dan mengajar pengajian Islam. Bahasa Arab turut digelar sebagai lisan al Malaikah (bahasa para malaikat) atau kalam al Jannah (Bahasa ahli syurga).
Rasa cemburu orientalis terhadap bahasa Arab telah membawa kepada usaha-usaha untuk memperkembangkan dialek-dialek daerah bagi menggantikan bahasa Arab klasik, namun hanya menemui kegagalan.
Ini dapat dilihat melalui peristiwa yang berlaku pada tahun 1912 ketika Kongress Orientalis Antarabangsa berlangsung di Athens. Seorang sarjana Mesir yang menghadiri kongres tersebut menolak teori bantuan daripada bahasa tambahan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti berlakunya penerimaan dialek Volapuk, Esperant dan Ido ke dalam bahasa Eropah. (Sh Inayatullah, K. Hitti: America and Arab Heritage 1946)
Bahasa Arab memberi satu corak pengaruh cukup besar terhadap perkembangan tamadun manusia sehingga ke hari ini. Sebagaimana diutarakan oleh Prof. Dr. Ayatrohaedi dari Jabatan Arkeologi, Fakulti Ilmu Pengetahuan Budaya, Universiti Indonesia bahawa bahasa Arab telah dijadikan salah satu sumber istilah baru. (Harian Pikiran Rakyat : 30 September 2002)
Kesan pembudayaan Islam di antaranya melalui bahasa Arab meliputi hampir keseluruhan nusantara, salah satunya di semenanjung Tanah Melayu sendiri ketika di bawah pengaruh dan kekuasaan sultan-sultan. Bahasa Melayu telah mengalami perubahan yang besar. Selain diperkaya dengan istilah dan perkataan Arab dan Parsi, bahasa Melayu turut dijadikan bahasa penghantar utama Islam di seluruh Kepulauan Melayu-Indonesia.
Memahami
Dianggarkan lebih 1000 kata Arab telah dipinjam oleh bahasa Melayu, khususnya kata yang berkaitan dengan cabang ilmu Islam. Bagi Munif Zarirruddin Fikri Nordin, bahasa Arab turut membantu dalam memperkembangkan bahasa Melayu dan pemikiran orang-orang Melayu dalam era globalisasi.
Bagi beliau, penggunanya dalam memahami al-Quran dan hadis turut memberi kesan besar kepada seluruh aspek pembangunan lahiriah dan rohaniah tamadun Islam, termasuk bahasa dan pemikiran Melayu. Ia menyerlahkan keupayaan bahasa Arab sebagai bahasa agama yang saintifik, rasional, bersifat ilmu pengetahuan, tepat dan jitu.
Bagi Yusuf al-Qardhawi, fungsi bahasa Arab dan hubungannya dengan maju mundurnya agama Islam, merupakan satu hubungan yang saling melengkapi dan tidak dapat dipisahkan sama sekali. Hubungan ini seperti hubungan jasad dengan roh.
Negara-negara maju hari ini amat terhutang budi dengan kedatangan Islam yang pertama kali menjalinkan hubungan dengan dunia Eropah sekitar kurun ke lapan dan sembilan. Ini dapat dilihat melalui kemasukan bahasa Arab dalam memperkembangkan bahasa Inggeris yang diguna pakai hari ini.
Misalnya, perkataan-perkataan seperti admiral, hazard, alcohol, safari, algebra, saffron, azure, sandal, calendar, sugar, cotton, tambourine, crimson, tariff, gazelle, traffic, giraffe dan zero (Brian Whitaker: the Guardian).
Menarik untuk diperkatakan, bangsa Melayu telah lama dekat dengan bahasa Arab sejak dari kecil sehinggalah dewasa. Perkataan pertama yang diperdengarkan di telinga ketika masih bayi ialah azan dan iqamat yang di susun indah dalam bahasa Arab.
Suasana selepas tragedi 11 September turut menarik bukan Islam mempelajari bahasa ini dengan pelbagai tujuan. Di California, ribuan pelajar di sebuah universiti mendesak pihak pentadbiran agar menyediakan kemudahan bagi mereka mempelajari al-Quran dan bahasa Arab sebagai satu cara memahami cara hidup dan ajaran mereka yang sebenar.
Di Malaysia, kemasukan para pelancong Arab membawa kepada perubahan strategi kepada pengusaha-pengusaha hotel untuk melatih kakitangan mereka mempelajari bahasa Arab.
Kesungguhan mereka khususnya kakitangan berbangsa Cina dapat dilihat melalui kemampuan untuk bertutur bahasa Arab mudah dalam masa beberapa bulan sebagai usaha memperkembangkan perniagaan masing-masing.
Hari ini kita wajar mengambil peluang mengambil manfaat meskipun hanya sedikit untuk membiasakan diri dalam bahasa Arab ke arah mendalami keupayaan bahasa dan mengangkatnya sebagai salah satu syiar Islam.
1 comment:
Nude beach [url=http://digg.com/celebrity/Kelly_Brooka_s_Hotness_Is_Killing_Me] naked tape[/url] nudepictures
Post a Comment