Persoalan utama ialah kenapa baru-baru ini timbul perbincangan ini? Banyak isu yang telah meletihkan tetapi diperlukan untuk pembangunan negara.
Malaysia, sebuah negara yang baru merdeka 50 tahun, sama seperti Ghana, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk melihat sebuah negara yang gemilang. Pelbagai dasar diperkenalkan sejak 31 Ogos 1957 sehingga kini seperti Dasar Ekonomi Baru dan Wawasan 2020 melonjakkan negara ke tahap mengecapi nikmat kemerdekaan pada hari ini.Merdeka, saat lonjakan terbaik telah memberikan kesempatan untuk bangsa Malaysia bergerak ke hadapan.
Melihat sirah Rasulullah saw ketika berusia 25 tahun, baginda berkahwin dengan Khadirah r.a, seorang janda yang kaya dan telah berkahwin sebanyak dua kali. Beliau tertarik dengan keperibadian Rasulullah saw yang sangat jujur dan amanah. Tugas menjadi peniaga yang berulang-alik dari Mekah dan Syam memberi ruang kepada Khadijah r.a melihat dan menilai peribadi baginda saw sebagai seorang yang matang walaupun berusia 25 tahun. Kematangan usia tidak dapat dibandingkan dengan kematangan akal kerana terdapat juga datuk yang berusia 70 tahun masih cuba merogol cucu yang berusia 8 tahun. Justeru, tahap kematangan boleh dianggap sebagai satu anugerah dan boleh juga dianggap bala.Seorang pemimpin, walaupun umurnya 60 tahun tetapi perancangannya menjangkau 100 tahun. Oleh itu, Wawasan 2020 adalah perancangan masa depan kerana kematangan seorang pemimpin.
Slogan cemerlang, gemilang dan terbilang adalah nilai ketinggian perancangan masa depan.Pemimpin perlu berfikir apa yang hendak dilakukan dalam jangka masa panjang dan kebaikannya kepada masyarakat dan negara. Contohnya, pembukaan jalan raya yang berkualiti dapat membantu meningkatkan pergerakan kenderaan. Lebuhraya Utara-Selatan telah menggerakkan ekonomi Malaysia dalam masa 20 tahun sahaja hasil kematangan berfikir pemimpin. Malah kematangan pemimpin tidak perlu banyak soal kerana orang yang matang adalah tegas, bijak dan berbeza.
Proses membentuk kelompok ulul albab bukannya singkat malah mengambil masa. Mewujudkan ulul albab berhadapan dengan pelbagai cabaran kerana terlalu banyak isu yang perlu dirungkai khususnya umat Islam di Malaysia. Halangan terbesar ialah kejahilan dan kemiskinan kerana dua unsur ini menyebabkan negara mundur 20 atau 30 tahun ke belakang.Survival bangsa perlu juga difikirkan selain daripada Islam. Disebabkan Islam terletak pada bangsa Melayu, kekuatan Islam terletak pada kekuatan bangsa Melayu. Kuat Melayu, kuatlah Islam. Begitu juga Arab. Lemah Arab, lemahlah Islam. Kalau Melayu tidak dibangunkan, Islam juga akan jauh ditinggalkan. Ambil contoh mudah iaitu ekonomi. Pada tahun 60-an hingga 70-an, ramai orang Melayu telah pergi melanjutkan pelajaran di luar negara kerana dihantar oleh kerajaan, jarang benar ada yang boleh pergi sendiri. Semua perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.Apabila ditanya kenapa masyarakat Malaysia disediakan kouta untuk belajar, kita harus melihat daripada sudut yang positif. Malaysia tidak dapat menghapuskan sistem ini kerana orang Melayu masih jauh ketinggalan.
Nilai yang ada pada bangsa yang survival adalah melaksanakan semua aspek positif. Pelaksanaan nilai-nilai melalui penerapan nilai-nilai Islam memudahkan urusan masyarakat Melayu untuk membangun.Prasayarat menjadi umat yang dihormati ialah menghapuskan tiga perkara iaitu hapuskan kejahilan, hapuskan kemiskinan dan hapuskan penyakit. Ketiga-tiga perkara ini memerlukan metodologi yang pelbagai dan perlu difikirkan sebaik-baiknya. Dalam usaha ini, banyak pulalah halangan yang bakal dihadapi.Bagaimana pula hendak menghapuskan secara langsung dan berkekalan halangan-halangan ini? Lihat pada semua aspek. Bina kekuatan. Tinggi ilmu, pendapatan akan meningkat, pengeluaran akan bertambah. Kesihatan bertambah baik kerana kesedaran masyarakat semakin tinggi. Perubahan hanya akan boleh berlaku jika ada pendidikan. Ketika Baghdad menjadi kota ilmu dan pusat rujukan kepada seluruh dunia, khalifah telah membina perpustakaan yang menjadi rujukan dalam pelbagai bidang ilmu. Kota Baghdad dikenali kerana kehebatan ilmunya.
Finland menjadi negara pengeluar telefon bimbit terkenal di dunia kerana disiplin ilmu yang diperkenalkan di sekolah. Umat Islam tidak pernah berbangga dengan pencapaian mereka dalam era moden kerana jahil dan bergaduh sesama sendiri. Apakah kita masih boleh mengharapkan negara-negara Arab yang kaya-raya untuk menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia?Malaysia yang dipimpin dan digerakkan oleh kematangan berfikir, mesti melahirkan lebih ramai teknokrat, korporat dan saintis supaya sumpahan kemunduran tidak akan menjadi kenyataan. Panduan untuk mencapai kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan bukannya metafora dan fatamorgana, sebaliknya adalah sains yang boleh dibuktikan. Justeru, ulul albab adalah matlamat penting yang mesti dicapai oleh setiap orang daripada kita.
No comments:
Post a Comment