KALAU hidup nak tidur sebantal, kalau mati nak sekubur berdua. Inilah mungkin harapan yang menjadi taruhan pasangan suami isteri yang tidak pernah jemu menganyam cinta mereka sehingga ke akhir usia.
Begitulah juga luahan hati seorang anak yang begitu prihatin kepada masa depan ayahnya setelah ibu tersayang pergi menghadap Ilahi. Faizi (bukan nama sebenar) saya temui ketika menghadiri satu majlis doa selamat di rumah seorang teman. Dia hadir bersama isterinya, Maria (bukan nama sebenar). Pertemuan saya dengan Faizi diatur oleh tuan rumah yang juga kenalan lama saya. “Saya ingin berkongsi kisah ayah saya bersama pembaca,’’ kata Faizi tenang apabila kami diperkenalkan. Salamnya saya sambut sambil tersenyum.
Setelah bertanya khabar kami memilih untuk berbual di laman rumah yang diterangi lampu neon dan cahaya bulan. Suasana tenang dan nyaman memberi keselesaan kepada Faizi untuk bercerita tanpa gangguan. Sejam saya menjadi pendengar setia tanpa mencelah walau sepatah. Suara, nada dan ekspresi wajah Faizi teramat menyentuh hati. Seketika saya nampak air mata Faizi bergenang, sesekali dia tersenyum dan ada kala termenung panjang sambil mengeluh.
Rumusan yang saya dapat, kisah ayahnya cukup menarik untuk dijadikan contoh kepada pasangan suami isteri dalam menghadapi saat kehilangan pasangan mereka yang pergi tidak akan kembali. Kepada pembaca budiman, inilah kisah yang Faizi ceritakan kepada saya. Semoga kita semua mendapat iktibar daripadanya.
“Ibu saya meninggal dunia dua tahun lalu kerana kanser payu dara setelah setahun menderita. Sejak itu ayah tinggal seorang diri kerana kami tiga beradik menetap di Kuala Lumpur.
“Ketika hayat ibu, ayah menjadi kekuatannya. Siang malam, tidak kira waktu ayah menjadi teman setia ibu, ke mana pergi pasti berdua dalam susah atau senang.
“Sehinggalah ibu terlantar dan tidak boleh berjalan. Makan minum, ganti pakaian dan mandi bedak ibu, ayah yang uruskan.
“Ketika ibu menghembuskan nafas terakhir dia berada dalam pangkuan ayah. Hibanya saat itu! Tiada air mata ayah yang mengalir tetapi saya dan adik-adik dapat melihat rasa sedih yang terpancar pada wajahnya.
“Seminggu ayah termenung, tidak makan dan tidak bertegur sapa dengan kami kecuali perlu. Saya sendiri menjadi takut bimbang ayah akan merana.
“Namun keimanan ayah menebus semua itu. Dalam seminggu ayah kembali pulih. Namun rutin hidup ayah berubah. Sejak hari pertama ibu meninggal setiap pagi selepas subuh ayah akan ke kubur, begitulah seterusnya sehingga genap 100 hari.
“Pada malam kami membuat kenduri arwah 100 hari, saya melihat ayah menangis... berlinangan air matanya mengalir ke pipi. Mungkin arwah ibu makin lama makin jauh. Saya tahu ayah rindukan ibu.
“Sejak itu, setiap Jumaat ayah ke kubur ibu. Di situ dia menghabiskan masa bersedekah Yasin dan al-Fatihah. Kehidupan ayah merunsingkan kami tiga beradik. Pujukan kami supaya ayah bergilir-gilir tinggal di rumah kami ditolaknya.
“Januari lalu, ketika kami bertiga bercuti untuk pulang ke kampung mengadakan kenduri arwah ibu, kami lihat perubahan pada wajah ayah.
Nampak ceria dan gembira.
“Saya mula syak sesuatu.... dan yang bermain di fikiran saya ketika itu adalah ayah akan bernikah lagi. Lalu saya bisikkan kepada isteri, dia menafikannya. Dua adik saya juga tidak percaya apa yang bermain di fikiran saya.
Saya tahu mereka tidak mahu ada orang lain mengganti tempat ibu.
“Selesai kenduri, kami duduk berbual dengan ayah. Harapan saya dan adik-adik, biar ayah berterus terang jika benar dia ingin kahwin lagi. Tapi hampa. Kami pulang tanpa sebarang kejutan daripada ayah.
“Dua minggu kemudian abang ayah, pak long menelefon suruh kami bertiga pulang, ada kenduri katanya. Kami tidak syak apa-apa dan akur dengan permintaan pak long. Tapi hati saya berdebar-debar macam ada yang tidak kena.
“Sampai di kampung kendurinya di rumah kami, bukan rumah pak long. Pada malam itu, barulah terungkai segala perkara, ayah jadi pengantin buat kali kedua dan selamat diijabkabulkan. Dia sengaja tidak mahu beritahu sebab calon ibu kami yang baru sangat kami kenal, kawan baik arwah ibu ketika sama-sama menjadi guru dulu. Tidak sangka pula jodoh ayah ke situ.
“Kami tiga beradik tidak membantah, tidak juga kecil hati sebab kami yakin ayah tahu apa yang terbaik untuk dirinya.
“Pernikahan ayah berjalan lancar dalam suasana sederhana. Kami semua menangis dan memeluk ayah sebaik dia selamat diijabkabulkan dengan Makcik Zu.
“Sungguh sayu hati saya. Ayah tidak berkata walau sepatah.
Ketika kami bersalaman dengan Makcik Zu terasa macam bersalam dengan arwah
ibu...
“Begitu juga dengan anak-anaknya. Kami berpelukan tanda menjadi sebuah keluarga yang inginkan kebahagiaan buat ibu bapa masing-masing sehingga ke akhir hayat.
“Malam itu saya melihat ayah tersenyum manis. Sudah hampir setahun saya tidak melihat ayah tersenyum. Esoknya jika sebelum ini, saya melihat ayah bersama arwah ibu di meja makan, kali ini Makcik Zu yang menemaninya. Mereka kelihatan gembira menjamah kuih dan kopi O kegemaran ayah.
“Sebaik selesai minum ayah mengajak kami semua ke kubur. Di sana, keluarga Makcik Zu juga ada. Ayah membaca doa dan bersedekah yasin dalam suasana cukup syahdu. Saya menangis, begitu juga adik-adik.. terasa rindu yang amat sangat pada ibu. Tapi ayah nampak tenang. “Selesai bersedekah al-Fatihah dan berdoa, ayah mengajak kami ke satu pusara lebih kurang 50 meter daripada kubur ibu. Kami mengikut, begitu juga Makcik Zu dan anak-anaknya.
Kerana tidak tahu kubur siapa, saya bertanya ayah, “ini kubur arwah suami Makcik
Zu, sahabat baik ayah” ringkas jawapan ayah.
“Hati saya semakin sebak. Betapa dua insan yang telah dipertemukan jodoh ini menyimpan kisah yang cukup unik dalam hidup mereka.
“Tidak seorang pun di antara kami tahu kisah ini. Kali ini saya lihat anak-anak Makcik Zu pula menangis.
“Saat itu saya dan adik-adik tidak dapat mengawal perasaan apabila ayah berkata inilah tempat yang menemukan jodohnya dengan Makcik Zu. Dan kata ayah, inilah juga tempat yang akan menjadi kunjungan tetap mereka sehingga maut datang menjemput.
“Rupanya, di situlah ayah sering berjumpa Makcik Zu setiap hari Jumaat sebab Makcik Zu juga datang menziarah kubur arwah suaminya yang juga kawan baik baik ayah.
“Sejak hari itu saya dan adik-adik tidak lagi bimbang tentang ayah. Tuhan telah menemukan dia dengan seorang wanita yang memahami jiwanya.
“Saya seronok melihat mereka saling mengambil berat antara satu sama lain, ke masjid bersama, ke pasar, kenduri kendara malah kedua-duanya sangat peramah, sayangkan anak cucu dan amat penyayang.
“Dan yang paling saya kagum, kesetiaan kedua-duanya menziarah pusara arwah pasangan hidup masing-masing yang telah kembali ke rahmatullah setiap hari Jumaat tanpa jemu.
“Setiap kali melihat ayah dan Makcik Zu saya sebak. Sedih, sayu, hiba bertukar ganti. Saya merasakan Makcik Zu seperti ibu kandung saya sendiri.
“Terima kasih Ya Allah...kerana memberi kebahagiaan ini untuk ayah dan kami semua. Terima kasih kerana menggantikan seorang wanita yang begitu tinggi martabatnya kepada ayah kami. Berilah mereka berdua kesejahteraan hidup didunia dan akhirat,’’ doa Faizi dengan air mata bergenang sambil menamatkan ceritanya.
Sejam berlalu begitu cepat. Terlalu pantas kisah yang Faizi cerita ditamatkan. Saya amat kagum dengan kesetiaan yang ditunjukkan ayah Faizi dan ibu barunya Makcik Zu. Berapa kerat di antara pasangan yang kehilangan teman hidup yang bercerai mati sanggup berbuat demikian? Mengenangkan ini saya tersenyum. Agaknya boleh dikira dengan jari. Tapi tidak dinafi ada yang bertahan sehingga ke hujung nyawa malah ada yang tanah kubur masih merah sudah merisik mencari pengganti. Apa pun itu hak peribadi seseorang.
Bagi saya kisah ini perlu dijadikan teladan oleh masyarakat sekarang dalam memperkatakan tentang ketelusan cinta dan kasih sayang dalam sebuah ikatan perkahwinan. Berjanji, berikrar tapi tidak menunaikannya tidak membawa apa-apa makna melainkan jika diselitkan dengan rasa tanggungjawab untuk saling bertolak ansur dan bersusah payah bersama dalam apa juga keadaan selagi ada ikatan suami isteri.
Saya percaya ayah Faizi dan ibu barunya mempunyai pemikiran yang sama - menerima takdir yang menemukan jodoh mereka tanpa melupakan kenangan silam yang kekal terpahat dalam minda. Sesungguhnya itu semua kerja Tuhan - ikatan persahabatan yang terjalin antara mereka semasa pasangan masing-masing masih hidup menjadi tonggak kepada pertemuan dan jodoh yang Allah tentukan. Semoga Allah panjangkan usia, dimurahkan rezeki dan diberi kesihatan yang baik untuk mereka menjalani kehidupan bahagia ini hingga ke akhir hayat. Insya-Allah. Istimewa buat kaum wanita khasnya isteri, pesanan telus daripada saya: jadilah wanita yang lebih lembut daripada angin yang berhembus. Salam
No comments:
Post a Comment