Photobucket

Zikrayaat

Thursday, September 15, 2011

Hijrah dan kenangan


Assalamualaikum...

Alhamdulillah syukur atas segala nikmat dan inayahNya...
baiklah antara cerita yg ingin saya kongsikan bersama sahabat2 sekalian ialah penghijrahan saya ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)



bermula 6 september 2011 yg lepas, bermulah perkhidmatan sebagai seorang penjawat awam di USIM... pelbagai perkara baru yg saya pelajari di sini.. pelbagai benda baru juga yg saya buat di sini... huhuhu.. kekadang fikir balik.. ya Allah hambaMu ini hanya seorang hamba yg lemah lagi dhaif.. bantulah diriku ya Allah dalam mentaati perintahMU dan istiqomah dalam apa jua mehnah yg mendatang... huhuhu.. sebut istiqomah tu yg sedih.. ada beberapa perkara yg saya tak dapat nak istiqomah lg... apa pun.. saya selalu mohon ampun dan maaf dr Allah atas keterlanjuran saya...

Bila sebut pasal hijrah ni.. teringat kisah hijrah Rasulullah dan para muhajirin.. walaupun telah mendapat kehidupan yg lebih baik di Madinah, namun Rasulullah dan para muhajirin sangat rindu untuk kembali ke Kota Mekah... begitu juga saya, namun siapalah saya jika dibandingkan dgn para muhajirin... terlalu jauh bezanya... saya sgt rindukan ketenangan di kdh.. rindukan ukhuwah saya bersama sahabat2 seperjuangan, ukhuwah bersama anak2 didik saya... rindu sangat... namun apakan daya, saya perlu teruskan perjuangan ini...

Teringat saya pada pesan ayahanda presiden tercinta Dato' Dr. Siddiq Fadzil, saat saya berjumpa beliau (ketika itu beliau baru sembuh sedikit dr sakitnya)rasa terharu dan sedih utk menatap wajah beliau demi menyatakan hajat saya untuk berhijrah ke USIM... dgn tenang beliau berkata lebih kurang begini: ini berita sedih untuk kami dan mungkin berita gembira utk ustazah.. kami akan kehilangan seorang ahli keluarga yg berkongsi misi dan visi, berkongsi susah sanang bersama2... apa pun pastikan di mana saja kita berada pasakkan niat kita untuk berbakti pada ummat... di luar sana masih ramai yg memerlukan kita...

saya simpan kata2 itu... insyaAllah saya akan sentiasa berbakti untuk ummat... membantu apa yg terdaya... ohhh... saya rindu KDH..memang Kolej Di Hati....


tercari2 gambar2 di Dar al-Hikmah melalui sang google.. tiba2 terjumpa coretan suami kepada bekas pelajar KDH yg mana saya menjadi penyemak untuk projek akhirnya thn lepas.. sungguh mendalam coretan ini.. ada saya copykan di sini sebahagiannya...
Sejarah itu pergi. Nanti berulang jika ingin diulang. Jika tidak ia menjadi satu titik masa dalam hidup. Bagi yang mengetahui, titik dan sejarah itu ingin selalu diulang-ulang. Ada keindahannya yang tersendiri.

Bagi sebuah kolej swasta, yang paling sukar adalah sumber dananya. Sejak sedari asal tertegaknya sebuah cita-cita unggul untuk membangun ummah dengan dana ikhlas dari mereka yang dermawan. Tidak ada sumber dari penguasa. Tidak ada keterikatan kepada siasah. Tidak ada sumber kapitalis yang nanti menagih untung. Laba yang menjerut segala kudrat dan keupayaan untuk bergerak bebas. Maka dengan kemampuan yang sedikit itulah kolej ini bergerak. Bernadi. Bernafas. Suatu keikhlasan yang tiada tolok bandingnya. Berdiri sendiri lebih gah dari dibantu oleh orang lain. Ketakutan sentiasa ada. Gergasi yang membantu ditakuti akhirnya membaham yang dibantu. Situasai malang yang selalu berlaku. Berulang-ulang. Dan berulang. Memanjang tanpa hilang. Manusia mencipta sejarahnya sendiri. Itulah yang diulang-ulang.

Siswanya bersilih ganti. Tidak juga dari mereka yang datangnya setempat sahaja. Ada yang dari Brunei. Ada yang dari seluruh tanah air. Ramai juga yang dari Indonesia. Mereka yang bekerja di sekitar Lembah Klang datang saban minggu untuk mengangkat diri mereka ke persada ilmu. Anak-anak muda dari berbagai pesantren di Indonesia itu tekad datang ke Malaysia untuk mencari rezeki. Bukan untuk perut semata-mata. Bukan untuk keluarga di kampung sahaja. Nilai tambah pada diri difikirkan untuk masa depan yang mencerahkan. Sedikit-sedikit mereka mengumpul wang. Berdikit-dikit menggunakan wang. Jerit perih yang mesti dialami. Ditanggung secara peribadi untuk membaiki diri.

Saya teringat sewaktu di US dahulu bilangan pelajar Malaysia dikatakan seramai melebihi 16,000 orang. Yang ditaja oleh kerajaan hanya segelintir kecil sahaja. Yang lainnya tentulah dengan tajaan FAMA – father and mother. Kebanyakan mereka orang Cina. Orang Melayu ada juga yang ditaja FAMA. Namun begitu tidak ramai bilangannya berbandaing dengan anak orang Cina. Lagi-lagi kita kembali kepada keupayaan ekonomi masing-masing. Orang Cina memiliki kekuatan ekonomi. Orang Melayu pula terpilih-pilih. Ada di sana sini. Sukar mencarinya. Adakah ini disengajakan? Orang Melayu perlu ditolong supaya mereka terikat dengan tongkat. Supaya mereka terikat dengan budi. Dengan sejumlah wang jaminan – guarantee –anak-anak Cina berduyun-duyun ke luar negara. Wang itu dimasukkan ke dalam bank. Digunakan yang seperlunya sahaja. Anak-anak itu pula mencari kerja sambilan.

Bagi yang rajin kerja ada di mana-mana. Mencuci pinggan mangkuk di restoran cukup untuk membayar rumah sewa dan belanja makan. Lumayan. Sehari mungkin sekitar tiga jam sahaja. Ini bermakna wang yang dibawa dari Malaysia tidak perlu digunakan. Cukup masa pulang ke Malaysia, wang itu dibawa balik. Jika dipinjam dari bank, boleh dibayar kembali sekaligus. Masih berbaki lagi kerana pihak bank di US membayar faedah. Jika empat tahun wang itu tidak dikeluarkan, bayangkan jumlahnya. Bawa balik lebihan yang banyak. Bagi orang Islam tentulah tidak boleh. Bukan cara Islam. Mungkin ada alternatif yang boleh difikirkan. Mengharapkan biasiswa sahaja tentulah tidak mungkin. Bajet untuk itu semakin berkurangan.

Bagi kolej kecil seperti Dar Al-Hikmah, yang terletak di tapak seluas lebih sedikit dua hektar tentu tidak banyak yang termampu. Ala kadar yang dapat dipersembahkan. Prasarana yang sehabis dasar. Tetapi seperti kata Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, presiden kolej, darinya dilahirkan mereka yang luhur baik. Yang digiring keluar untuk menabur bakti. Yang memberi manfaat kepada manusia sejagat. Yang mendakwah kepada semangat Islami yang tinggi. Dalam kezuhudannya itu ditapak perjalanan masa lalu merentas segala kepayahan untuk membangun insan-insan gemilang dengan ilmu yang bersarang di dada kuat untuk menerjahkan kehebatan umat. Yang menyumbang kepada keutuhan agama, iman, amal dan kesejahteraan beragama. Sempena majlis konvokesyennya yang ke29 pada hari Sabtu 30 April 2011, majlis makan malam diadakan. Mudah-mudahan ada lebihan yang menyumbang untuk menambah dana. Banyak lagi yang perlu diusahakan untuk menegakkan cita-cita murni bagi melahirkan umat bestari. Umat ulul al-bab. Cendekiawan yng tersohor membelah alam raya dengan ilmu-ilmu yang menunjang jauh ke dasar. Yang menancap jauh memuncak tinggi.

Datuk Dr Siddiq Fadhil tidak pernah lekang dari mengisi minda. Orangnya bersahaja. Cakapnya banyak memanifestasikan leluhur seorang pemikir. Dalam santai banyak ceritanya. I’tibar yang mesti diambil. Pengajaran yang memberi keinsafan. Dalam belajar manusia belajar. Tentu ada yang belajar tetapi tidak belajar. Ramai orang mengimpikan segala keindahan untuk masa hadapan yang indah-indah belaka. Dalam pada itu ada orang yang tidak bermimpi. Untuk bermimpi sangat menakutkan. Takut mimpi ngeri menjadi realiti. Lain yang dihajat lain pula yang diterima. Walau bagaimanapun bagi mereka yang boleh belajar, mereka mendapat sesuatu yang besar manfaatnya. Sebagai kiasan benarkah setiap murid harus memuntahkan kembali apa yang diperolehi dari gurunya? Serba serbinya sama? Atau dikitar dahulu semua yang diterima? Diolah menjadi sesuatu yang berbeza? Akhirnya diperlihatkan kepada khalayak sesuatu yang memperkasa minda. Menambahkan ilmu. Meningkatkan tahap kompeten yang diwajarkan.

Mereka yang bijak bestari tidak inginkan sesuatu yang sama atau serupa dengan apa yang dilihat dan didengar. Dibaca dan dipelajari. Dia harus melahirkan sesuatu yang berbeza dengan yang sedia ada. Melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza. Memberi erti yang berbeza. Mengaplikasikan untuk sesuatu yang berbeza. Wataknya menjadi berbeza. Perawakannya berbeza. Cara berfikirnya berbeza. Mereka bukan melawan arus. Bukan menyongsang. Mereka telah benar-benar belajar. Mengolah yang diterima untuk menjadikan sesuatu yang berbeza dari norm. Jika input dan output adalah sama tentulah dilihat pembelajarna tidak berlaku. Walaupun menghafal adalah satu kaedah pembelajaran tetapi jika tidak ada nilai tambah kepada apa yang dipelajari tentu tidak banyak belajar namanya.

Kita belajar bukan sahaja untuk mengetahui bahkan juga untuk pandai. Pandai sahaja tidak signifikan jika tidak menampakkan keistimewaan. Menjadi orang biasa kadang-kadang susah juga. Menjadi orang yang luar biasa tentulah lebih susah lagi. Selalunya yang menonjol ialah orang yang luar biasa. Orang yang bertubuh kecil tetapi gah namanya. Kelihatan lebih besar berbanding dengan orang yang paling besar di sekelilingnya. Tidak pernah dilihat tetapi namanya dikenal orang. Dilihat normal tetapi bila bercakap menusuk jiwa raga. Kulitna bukan putih kuning tetapi kehadirannya menyilaukan mata. Semua orang belajar. Yang paling baik ialah akhirnya dapat mengajar. Memindahkan apa yang ada kepada orang lain. Memandaikan orang lain. Menghebatkan orang lain. Meramaikan lagi orang-orang yang hebat-hebat di sekelilingnya. Penyampaiannya pula bukan cara biasa-biasa. Ada falsafah dan kebijaksanaan.

Begitulah kata Dato’ Siddiq Fadhil. Sekadar mengungkapkan, “Banyaklah berbuat baik dan jangan pula berbuat jahat” tidak mencukupi. Ungkapan begitu terlalu lumrah. Terlalu biasa. Terlalu murah. Tetapi jika dikatakan, “Buat baik jangan sekali, berbuat jahat baik sekali” memberikan impak yang kuat. Tidak boleh dibaca secara tersurat sahaja. Perlu diteliti apa yang tersirat. Read between the lines. Perlu keluar untuk menjangkau pemikiran peringkat tinggi. Sekilas pandang tulisan begitu nampak negatif. Di luar kebiasaan. Tetapi jika diperhalusi tentulah maksudnya sangat cantik. Bukankah yang baik itu budi, yang indah itu bahasa? Oleh itu mereka yang benar-benar belajar dapat memberi erti yang lebih meninggi nilainya. Lebih besar impaknya. Lebih bermanfaat kepada lebih ramai khalayak.

No comments:

Murottal al-Quran