Photobucket

Zikrayaat

Wednesday, February 18, 2009

Mantap Al-Qur'an Mudah Belajar Bahasa Arab..


Penggunaan Al-Quran sebenarnya adalah bertujuan untuk mengajar ilmu Bahasa Arab terutamanya dari sudut nahu (grammar) itu sendiri yang mana telah mendapat perhatian yang utama oleh para nuhat (ahli-ahli nahu) sejak zaman-berzaman di samping ianya merupakan mukjizat yang agung dan hidayah buat sekelian umat Nabi Muhammad S.A.W.
Bermula daripada Abu Aswad ad-Duali yang telah menyahut seruan Saidina Ali Karramallahu Wajhah dalam meletakkan asas ilmu nahu setelah beliau mendengar adanya lahn (kesalahan daripada segi nahu) dalam pembacaan Al-Quran.
Sibawaih (180H) dalam bukunya ‘al-Kitab’ juga menggunakan dalil ayat-ayat Al-Quran sebagai bukti kepada kaedah-kaedah nahu. Penggunaan dalil daripada ayat-ayat Al-Quran untuk membuktikan ketepatan kaedah nahu dipanggil dengan istilah “syahid Al-Quran”. Syahid Al-Quran yang pertama digunakan oleh Sibawaih di dalam kitabnya adalah ketika membincangkan tentang kalimah iaitu tajuk pertama tentang ilmu nahu.
Sekiranya dilihat pula Ibnu Hisham (761H) maka beliau juga menggunakan syahid Al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu Bahasa Arab. Di dalam bukunya “syarh qatr an-nada wa bal as-sada” penggunaanya (syahid Al-Quran) yang pertama adalah dalam bab al-kalimah apabila beliau membawa ayat Al-Quran sebagai dalil kepada jumlah mufidah.
Begitu juga Ibnu ‘Aqil (769H) yang juga tidak ketinggalan dalam menggunakan syahid Al-Quran ini di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu. Syahid Al-Quran yang pertama di dalam kitabnya “syarh ibnu ‘Aqil” ialah apabila beliau memperkatakan juga tentang al-kalam (iaitu al-kalimah).
Jikalau ada pihak yang mengatakan Ibnu Hisham dan Ibnu ‘Aqil kedua-duanya adalah “syaarih” (orang yang melakukan huraian) kepada matan Ibnu Malik (al-fiah) yang bersifat “nazam atau syair” maka memang sepatutnyalah mereka menggunakan Al-Quran, maka kita lihat pula kepada ulama'-ulama' nahu yang melakukan huraian kepada matan al-ajrumiyah (bukan syair) yang juga menggunakan syahid Al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu.
Kita ambil contoh As-Syeikh Muhammad Abd al-Bariy (1298H) yang telah menulis nota tentang matan berkenaan menggunakan syahid Al-Quran pada permulaan bab nahu lagi iaitu bab al-ikrab dan al-bina’ manakala as-syaarih bagi matan al-ajrumiyyah pula iaitu As-Syiekh Muhammad Ar-Ra’aini menggunakan syahid Al-Quran, dan syahidnya yang pertama datang dari bab al-kalam.
Sekiranya kita perhatikan ulama'-ulama' nahu terdahulu, mereka sangat berpegang teguh dengan Al-Quran di dalam pengajaran mereka tentang kaedah-kaedah nahu. Sehinggakan pada permulaan bab lagi mereka telah menggunakan Al-Quran sebagai bukti atau dalil ketepatan kaedah yang dibawa.
Tetapi apabila kita merujuk kepada kitab-kitab pengajaran nahu yang ditulis oleh ulama'-ulama' kini, maka kita dapati sebahagian daripada mereka menggunakan Al-Quran dan sebahagian yang lain pula tidak menggunakan Al-Quran langsung di dalam menerangkan kaedah-kaedah nahu.
Di antara kitab-kitab nahu yang masih menggunakan Al-Quran sebagai bukti ketepatan kaedah nahu adalah seperti kitab ‘jami' ad-durus’ yang dikarang oleh Al-Ghalayini (1912), kitab ‘at-tathbiq an-nahwi’ karangan Dr. Abduh Ar-Rajihi (1988), dan juga kitab terbaru yang mengemukakan huraian (syarh) kepada matan al-ajrumiyyah yang telah dilakukan oleh Muhammad Mahyuddin Abd Hamid yang dinamakan dengan ‘at-tuhfatu as-saniyyah’ juga tidak ketinggalan menggunakan syahid Al-Quran sebagai hujjah membuktikan ketepatan nahu Bahasa Arab.
Manakala kitab-kitab yang tidak menggunakan syahid Al-Quran di dalam menghuraikan kaedah-kaedah nahu adalah seperti kitab ‘an-nahwu al-waadhih’ tidak menggunakan syahid Al-Quran pada kedua-dua jilid (untuk marhalah ibtidaaiyyah dan thanawiyyah). Begitu juga buku-buku ringkasan nahu Bahasa Arab yang digunakan di sekolah-sekolah juga tidak menggunakan syahid Al-Quran ini.
Kesimpulan daripada kajian yang sedikit ini (jika boleh dikatakan) bahawa terdapat kaitan yang jelas di antara menggunakan syahid Al-Quran dalam kaedah pengajaran Bahasa Arab dengan penguasaan ilmu Bahasa Arab itu sendiri di kalangan para pelajar.
Maksudnya, kemungkinan kesukaran para pelajar dan kelemahan mereka menguasai ilmu Bahasa Arab kerana mereka kini telah jauh daripada Al-Quran itu sendiri yang mana suatu ketika dahulu telah didekatkan oleh guru mereka melalui kaedah penggunaan syahid Al-Quran.
Hal ini demikian adalah kerana terdapatnya kaitan rapat Al-Quran itu dengan Bahasa Arab yang diibaratkan seperti isi dengan kuku. Tidak sempurnalah jari yang berada di tangan jika tidak mempunyai kuku dihujungnya tetapi hanya ada isinya sahaja dan begitu jugalah sebaliknya.
Jadi usaha untuk memantapkan kembali penguasaan Bahasa Arab di kalangan para pelajar adalah dengan kita di kalangan para pendidik mengembalikan mereka kepada kaedah sebagaimana yang telah diasaskan oleh ulama'-ulama' terdahulu, di antaranya adalah menggunakan Al-Quran di dalam pengajaran dan pembelajaran nahu Bahasa Arab itu sendiri.
Sesungguhnya mukjizat Al-Quran yang maha suci itu memungkinkan para pelajar mudah untuk memahami tentang kaedah-kaedah nahu yang nampak seakan-akan terlalu susah kini. Mudah-mudahan usaha mengembalikan kehebatan Al-Quran di dalam hati anak-anak muda atau anak-anak didik bersama kaedah pengajaran nahu akan memantapkan kembali penguasaan nahu dan Bahasa Arab itu sendiri. Malah memberi impak yang baik untuk ISLAM pada masa hadapan dan generasi akan datang..khasnya buat anak-anak sahabat-sahabatku yang bakal lahir nanti dan anak-anakku jua malah buat seluruh anak-anak kaum muslimin amnya...
Saya fikir..anda fikir..kita sama-sama fikir...jadi fikir-fikirkanlah!!!!

2 comments:

Unknown said...

salam 'alaik..
akak, ilmu yang bermanfaat entry2 akak.. cumenya ayu rase akk bg perenggan sikit utk entry2 tu, mudah dan minat lg utk baca.. sekadar cadamngan pengikut setia blog akk..hiii..tq:)

Anonymous said...

salamullahu 'alaik...

yu.. dah puas akak edit.. tak nak gak jadi perenggannya..hmm x perlah.. yg penting boleh dibaca.. terima kasih yer...

Murottal al-Quran