Puteri-puteri Islam sejati!
Setinggi-tinggi pujian kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Selawat dan salam khusus buat rasul junjungan Muhammad s.a.w , seisi keluarga serta para sahabat baginda juga seluruh pendokong deen Islam sehingga tiba hari qiamat.
Kepada Allah jua kita pohonkan taufiq, hidayah, keampunan dan keredhaan diiringi rahmat, barakah dan sakinah. Moga dengannya hidup kita sentiasa terjurus ke arah kebaikan; menyeru kepada yang maaruf serentak mencegah yang munkar. Juga menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain.
Puteri-puteriku yang dikasihi kerana Allah,
Masa kehidupan masih beredar membawakan hari-hari yang silih berganti antara cabaran dan kemudahan, juga rintangan dan penyelesaian. Sekali-kali kita tidak mengharapkan kegagalan. Sesungguhnya kita berhajat kepada kejayaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Justeru itu bersungguh-sungguh kita himpun bekal kekuatan demi menggarap kasih dan redha Ilahi. Di kesempatan kali ini seizinNya kita tiba pada membicarakan bekalan yang ke 6:
Mendampingi Al-Quran Meneguhkan Iman
Puteri-puteri Islam yang sentiasa tekun dan gigih,
Allah s.w.t Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang menganugerahkan kita kehidupan yang disertakan dengan perintah, peraturan serta petunjuk yang lengkap lagi sempurna. Al-Quran merupakan kitabullah yang mengandungi 1001 hikmah luar biasa. Di dalamnya terkandung seluruh bekalan yang sangat kita perlukan sepanjang hayat yang juga akan menentukan akhir kesudahan kita di dunia maupun di akhirat. Dengan membacanya bersungguh-sungguh merupakan sebaik-baik jalan meraih bekalan iman dan taqwa yang tinggi.
Al-quran mengajar kita mentauhidkan dan mengEsakan Allah yang memberi kesejahteraan kepada kita.
Al-Quran mendorong kita memikirkan tentang ciptaan-ciptaan Allah yang dengannya kita mengenali sifat-sifat Allah lantas bertasbih mengagungkanNya.
Al-Quran membimbing kita untuk taat mencontohi sunnah Rasulullah s.a.w.
Al-Quran membimbing kita untuk meletakkan seluruh kehidupan di landasan beribadah sepanjang hayat selaras dengan tujuan kita diciptakan.
Al-Quran menghidangkan kepada kita pengajaran, contoh dan tauladan dari kisah dan serah para nabi, rasul dan umat terdahulu sebagai panduan kebijaksanaan.
Al-Quran sentiasa memperingatkan kita untuk melaksanakan kebaikkan juga menjauhi serta menghindari kajahatan.
Al-Quran mmemperingatkan kita tentang kiamat dan hari kebangkitan serta hari perhitungan.
Al-Quran membawakan gambaran berita gembira tentang syurga berserta nikmat-nikmatnya juga gambaran tentang neraka dan azab-azabnya yang dahsyat.
Begitulah Al-Quran berperanan membawa segala macam kebaikkan yang dihajati oleh seluruh manusia yang menghuni alam ini. Dengannya juga kita mendapat bekalan yang sentiasa baru dan segar sepanjang hayat.
Puteri-puteri Islam yang bertaqwa!
Sentiasalah sematkan di hati;"Sesungguhnya Al-Quran ini memimpin kepada jalan yang paling baik dan paling lurus”. (QS Al-Isra’:9)
Ketahuilah puteri-puteriku,
Generasi Al-Quran di bawah didikan Rasulullah s.a.w telah berjaya menjadi umpama Al-Quran yang hidup dan bergerak di muka bumi. Membawa perubahan sejagat dengan mengeluarkan manusia dari kegelapan hidup jahiliyah kepada terbentuknya masyarakat Islam.
Mereka menghormati, mengagungkan dan mengkagumi Al-Quran, setiap kali membacanya kerana ianya merupakan kalamullah dari Yang Maha Agung dan Yang Maha Tinggi.
Mereka bersyukur kerana Allah mengurniakan Al-Quran sebagai rahmat, dari itu mereka menyampaikan pula petunjuk-petunjuk Al-Quran kepada manusia lain.
Mereka mendengar Al-Quran bukan sekadar di telinga malah meresap ke dalam hati. Mereka merenung dan memahami tunjuk ajar Al-Quran yang berupa perintah dan larangan. Setiap kali mereka mendengar seruan; “Wahai orang-orang yang beriman…” mereka mendengar penuh teliti, menantikan arahan dan perintah Allah.
Puteri-puteri Islam sejati!
Bagaimana dengan kita, bolehkah kita berubah sepertimana generasi Al-Quran yang pertama ?Semestinya seizin Allah, perubahan begitu tidak mustahil asal sahaja;
Kita tekun membaca Al-Quran.
Memahami bersungguh-sungguh serta melaksanakan isi kandungannya tanpa ragu-ragu.
Membentuk diri, keluarga dan masyarakat mengikut acuan pribadi Al-Quran.
Ingatlah puteri-puteriku!
Seandainya kita terlalu asyik dengan kehidupan dunia sehingga kecintaan dunia menguasai akal firiran dan hati nurani, ianya akan menjadi tembok tebal yang menghalangi nur(cahaya) Al-Quran dari menyinari hati kita. Taqwa akan gagal untuk bertapak di hati. Alangkah ruginya…Nauzubillah!.
Puteri-puteriku yang sentiasa gigih meneguhkan iman,
Bersegeralah mengorak langkah mendampingi Al-Quran;
Menghayati bersungguh-sungguh setiap patah ayat-ayat Al-Quran supaya mengalir kesan dan pengaruhnya yang mengusik perasaan dan menggetarkan jiwa.
Sentiasa mengulang-ulang bacaan ayat-ayat Al-Quran terutamanya di dalam solat supaya secara beransur-ansur dapat kita bina cita-cita melaksanakan seluruh perintah Allah yang terkandung di dalam Al-Quran.
Membaca Al-Quran terus menerus. Sedaya upaya tidak mengabaikan dari merenung dengan mendalam petunjuk yang terkandung dalam setiap ayat-ayat Al-Quran supaya bekalan iman dan taqwa kita sentiasa segar.
Sematkan di hati maksud firman Allah; “Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pelajaran, maka adakah orang yang mengambil pelajaran ini”.(QS. Al-Qamar: 17)
Puteri-puteri Islam sejati!
Sentiasa kita harapkan segala usaha-usaha kebaikan yang cuba laksanakan adalah semata-mata bermatlamatkan keredhaan Allah. Juga semoga ianya turut membawa manfaat kepada orang lain. Itulah yang akan membahagiakan kita sewaktu hidup di dunia malahan turut menguntungkan kita dalam kehidupan di akhirat kelak.
Setakat ini dahulu untuk kesempatan kali ini. Seandainya dipanjangkan Allah usia kita akan diteruskan lagi bicara dalam rangka saling ingat memperingati ke jalan kebenaran dengan kesabaran.
No comments:
Post a Comment