Photobucket

Zikrayaat

Sunday, January 04, 2009

Penilaian matang pada seseorang


Acapkali menjelang hari kelahiran saya.. pasti saya terima pelbagai ucapan tahniah.. panjang umur dan sebagainya.. dan seperti biasa sebaris ayat.. ""moga peningkatan usia ini selari dengan meningkatnya kematanganmu"".... jadi bagaimana persepsi seseorang terhadap matang... saya agak senang membaa artikel ini yang bertajuk :
PERJALANAN hidup manusia terlalu panjang, bermula dari alam roh menuju ke alam rahim, dilahirkan ke alam dunia, masuk ke alam kubur dan bangkit semula di alam akhirat.

Lima fasa ditakdirkan untuk kita lalui dan bagi orang yang beriman, akan percaya bahawa sebenarnya roh sentiasa hidup melalui setiap fasa kehidupan ini.
Berbanggalah dengan roh anda yang beriman, bukan kerana jasad yang cantik rupawan dengan perhiasan dipamerkan di tubuh badan atau harta kekayaan disorokkan.
Sepatutnya akal yang tajam itu digunakan untuk berfikir jauh ke hadapan. Semua yang kita miliki kini akan musnah kerana dunia umpama tempat mengeringkan peluh di muka, lalu kita akan kembali berjalan ke destinasi seterusnya.
Mengamati sejarah hidup manusia, kita seolah-olah membelek setiap halaman diari kehidupan.
Pelbagai kejadian dan peristiwa yang dialami mendewasakan diri, walaupun kadang-kadang sebahagian manusia bertambah muda dan bersikap keanak-anakan dalam menghadapi cabaran hidup.
Berwaspadalah dengan usia tua yang mungkin menambahkan kerasnya hati, degilnya perangai dan sukar mengawal emosi.
Apakah sebenarnya yang tersirat daripada sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah SWT tidak menerima keuzuran seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga sampai berumur 60 tahun.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Ini bukan bermakna manusia boleh sesuka hati melakukan dosa dan berhenti pada usia 60 tahun, tetapi ia mengingatkan jika perangai tidak berubah sampai mencecah usia 60 tahun, tanda-tanda kebinasaan sudah nampak.
Manusia mengalami beberapa fasa untuk sampai pada usia matang. Jika lahir pramatang pun merbahaya, apatah lagi terlebih bulan.
Oleh itu, jika tidak bertaubat juga sementara usia semakin meningkat, alamat tak jumpa jalan Tuhan sebab mata sudah rabun.
Mengimbas kenangan manis semasa mula berkahwin, proses penyesuaian diri dengan pasangan terasa susah tetapi kita jalani juga bahtera rumah tangga itu.
Semakin lama kita semakin kukuh menerjang badai, pahit manis menjadi pengajaran, kita bertambah dewasa, semakin matang dalam berfikir, bertindak dan merasa. Ini bermakna kita telah sampai pada satu titik kesempurnaan peribadi ketika mahu berkongsi segala dengan pasangan, setiap hari saling melengkapi dan saling menyelamatkan supaya tak tenggelam dihentam gelombang.

Begitu juga dengan iman dalam diri yang perlu sentiasa diselamatkan seiring dengan bertambahnya usia. Seharusnya dengan bertambah usia maka bertambahlah imannya, berubah sedikit perangainya kepada kebaikan, mulia akhlaknya, lembut hatinya, terkawal emosinya dan tenang jiwanya. Bukan sebaliknya, biarlah tubuh badan saja yang uzur tetapi iman tetap segar, masih nampak yang hak dan yang batil, tidak nyanyuk dan lupa mana yang Allah reda dan mana yang dimurkai-Nya.

Apabila anak sudah meningkat dewasa, tentunya kita mahu mereka menjadi lebih matang dan lebih baik lagi iman serta amalnya. Setiap hari semakin penuh diari hidup dengan catatan amalan soleh.
Hakikatnya, dosa dan pahala berlumba-lumba memenuhi setiap muka surat catatan diari kehidupan kita sepanjang masa, tanpa henti. Ada yang rugi, ada pula yang untung dalam perniagaan akhiratnya. Yang rugi hanyalah mereka yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat dipanjangkan umur.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bersegeralah kamu melakukan amal kebaikan sebelum menemui tujuh perkara yang kamu tidak nantikan datangnya iaitu kefakiran yang melalaikan, kekayaan yang menyebabkan kamu zalim, sakit yang merosakkan badan, tua yang menggagapkan percakapan, mati yang melenyapkan segala sesuatu, atau tibanya dajjal atau datangnya kiamat yang lebih dahsyat dan lebih pahit dugaannya.” (Hadis riwayat Imam al-
Tirmizi)
Begitulah diari hidup manusia. Jika habis segala cerita dituliskan, maka sampai pula masanya pulang kepada Allah SWT. Tetapi harus diingat, di akhirat semuanya akan dibalas, dihitung dan ditimbang sehalus-halusnya. Cerita hidup manusia bukan menjadi rahsia lagi di sana, semuanya akan terungkap di Mahkamah Allah Rabbul Jalil.

No comments:

Murottal al-Quran